Pemuda Umno anggap pelawaan dialog oleh Maszlee hanya sandiwara

Pemuda Umno anggap pelawaan dialog oleh Maszlee hanya sandiwara

Pelawaan dialog daripada bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik untuk membincangkan isu buku Sejarah Tingkatan 4 hanyalah sandiwara untuk meraih populariti murahan, dakwa Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Aizat Azam.

Menurutnya, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sepatutnya menjawab segala persoalan yang timbul termasuk soalan daripada polis kelak.

“Saya pasti Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki) telah menyatakan pendirian beliau dan bersedia bersemuka dengan Dr Maszlee di mahkamah.

“Itupun kalau Dr Maszlee berani menghantar notis saman seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Isu ini bukan lah berkenaan Dr Maszlee dan melayani populariti yang ditagihnya.

“Tetapi ini adalah demi memastikan percambahan minda, pembinaan jati diri dan usaha menanamkan sifat patriotisme di dalam jiwa serta pemikiran pelajar sekolah dapat diteruskan secara tuntas dan bijaksana,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, Pemuda UMNO juga mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) segera menarik balik buku sejarah Tingkatan 4 itu dan memperbetulkan kembali fakta yang cuba dimanipulasi bagi mengubah sejarah negara.

“Pemuda UMNO juga menggesa supaya siasatan polis segera dilakukan atas laporan-laporan polis yang telah dibuat oleh NGO-NGO seluruh Malaysia jika wujudnya campur tangan pihak-pihak tertentu dalam proses penulisan kandungan buku itu,” ujarnya.

KPM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 telah mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku teks, termasuk ketepatan fakta.

“Proses penerbitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah melalui proses kawalan mutu yang ketat,” kata KPM dalam kenyataan tersebut.

Ia susulan desakan beberapa pihak agar buku teks Sejarah Tingkatan 4 diharamkan kerana didakwa memanipulasikan fakta selain diisi dengan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/buku-teks-sejarah-tingkatan-4-pelawaan-dialog-maszlee-hanyalah-sandiwara-exco-pemuda-umno-285090