Pemuda PN gesa Selangor contohi kerajaan Pusat

Pemuda PN gesa Selangor contohi kerajaan Pusat. Kerajaan negeri Selangor harus mencontohi pendekatan diambil kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan mengumumkan program Bakul Prihatin Negara untuk membantu keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Pemuda PN Selangor, Asyraf Halim berkata, kerajaan negeri Selangor diterajui Menteri Besar, Amiruddin Shaari perlu mencontohi Perdana Menteri dengan memberi bantuan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Inisiatif itu tanpa mengambil kira parti sama ada kerajaan atau pembangkang agar dapat membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Tidak wajar sebagai ahli politik hanya menuding jari dan hanya melihat salah kerajaan Pusat. Rakyat kini amat memerlukan semua jenis bantuan dan perhatian sewajarnya.

“Menteri Besar Selangor haruslah berbesar hati dan proaktif dalam membantu rakyat negeri ini yang terkesan dengan pandemik dan sekatan pergerakan penuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai memberikan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang memaklumkan berkenaan program bantuan tersebut.

Program itu adalah cetusan idea oleh Muhyiddin sebagai tindak balas proaktif terhadap senario dihadapi rakyat yang bergelut dengan wabak Covid-19.

Antara lain, ia merupakan kesinambungan daripada program sedia ada kerajaan Pusat dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sektor swasta. Kerajaan membelanjakan sebanyak RM5 juta dan RM16 sumbangan syarikat swasta yang menyediakan 420,000 bakul makanan.

Malah, sehingga kini, kerajaan telah mengagihkan 2.3 bakul makanan bernilai RM173 juta di bawah program sama fasa satu dan bakul makanan Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 (Nadma).

Malah, ia juga melibatkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi.

Dalam pada itu, kata Asyraf, kerajaan negeri Selangor sepatutnya mencontohi segala usaha berkenaan daripada terus bermain politik dan melepaskan batok di tangga.

“Keluarga yang terjejas akibat penularan Covid-19 dan memerlukan bantuan makanan, anda boleh memohon Bakul Prihatin Negara yang disalurkan oleh kerajaan,” katanya.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/07/selangor-wajar-contohi-kerajaan-pusat/

BACA JUGA : Mokhtar Senik mahu RTM hentikan ‘program maksiat’