Pemuda PH bimbang rakyat berhadapan risiko hilang pekerjaaan kerana darurat

Rasional untuk memohon darurat sebagaimana yang telah diumumkan ‘Perdana Menteri minoriti’ telah memberi kesan terutama sekali dalam aspek ekonomi rakyat dan negara. Tempoh darurat yang bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021 menunjukkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional untuk mentadbir negara dengan baik.

Sebaik sahaja diumumkan, pasaran saham dan matawang Malaysia jatuh merudum. Daripada persepktif matawang, dolar US kepada ringgit Malaysia mencapai paras tertinggi iaitu 4.072, 0.27% lebih tinggi daripada penutupan hari sebelumnya sekitar 4.061. Bahkan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia pula turun sekitar 15.98 mata atau 1.45% berbanding hari sebelumnya. Sekirannya tiada pemulihan yang konsisten, ianya bakal memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara.

Kadar pengangguran yang kini mencatat sekitar 4.8% juga dijangka terus meningkat. Statistik menunjukkan anak muda berumur antara 15 hingga 30 tahun telah mewakili 58.2% jumlah penganggur. Sebelum COVID-19, pengangguran belia kekal tinggi dengan 35.6 peratus datang daripada berpendidikan tinggi. Pada masa sama, tenaga buruh cenderung kepada golongan pendidikan rendah (70.4 peratus).

Lebih menyedihkan, Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) atau Industri Kecil dan Sederhana (IKS) masih banyak lagi yang belum menerima subsidi upah. Dalam hal ini, kerajaan wajib membentangkan pelan jangka pendek untuk menyalurkan dana, khususnya kepada golongan muda yang terkesan. Jika tidak, pengisytiharan darurat ini hanyalah helah untuk menyelamatkan kedudukan politik Muhyidin dan ianya perlu ditolak secara total.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

YB HOWARD LEE
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan

YB AKMAL NASIR
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia