Pemuda Amanah tuntut calon muda diketengahkan di PRK Dun Slim

Pemuda AMANAH dalam mesyuarat Pengurusan Pemuda AMANAH Nasional yang berlangsung hari ini telah membincangkan mengenai Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Slim.
Pemuda AMANAH berpendapat bahawa PRK ini merupakan medan bagi menguji keutuhan Pakatan Harapan Plus yang dianggotai AMANAH, DAP, KEADILAN, Warisan dan kumpulan Bersatu Berprinsip.

Rakyat telah menyaksikan perpecahan dalam kalangan pembangkang ekoran perbezaan pendapat dalam banyak perkara. Hal ini sekaligus telah menggagalkan usaha pembangkang mendapatkan cukup bilang bagi mengambilalih semula kerajaan setakat ini.

Justeru dalam PRK DUN Slim, kesatuan pembangkang PH Plus bakal teruji dan rakyat khususnya anak muda akan menilai sejauh mana keutuhan gabungan PH Plus, termasuklah dalam menentukan parti mana yang bertanding dan calon yang akan dilagangkan.

Terakhir, kita juga menyarankan agar calon dalam kalangan anak muda diberi peluang oleh PH Plus untuk bertanding kali ini. Mencalonkan anak muda dalam PRK DUN Slim akan memberikan gambaran PH Plus terus melangkah kehadapan meninggalkan gagasan politik konservatif.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

19 Julai 2020 | 27 Zulkaedah 1441H

Sumber :