Pemuda AMANAH Negeri Perak mengambil maklum dan memandang positif nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mahasiswa yang berada di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta untuk terus kekal di kampus masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula esok.
Perkara ini turut dinyatakan secara rasmi oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dalam sidang medianya.
Kami ingin menggesa agar jaminan kerajaan untuk menjaga kebajikan kumpulan mahasiswa ini benar-benar diambil perhatian serius.
Ini berikutan terdapat aduan yang diterima di beberapa buah IPT, kebajikan mahasiswa yang akur dengan arahan PKP untuk kekal berada di kolej-kolej kediaman dan rumah sewa di luar tidak dijaga kebajikan mereka terutamanya melibatkan penyediaan makan dan minum.
Kami ingin menggesa pihak kerajaan dapat menyalurkan sumber kewangan yang mencukupi kepada IPT-IPT ini untuk menjaga kebajikan mereka seleras dengan pengumuman yang dibuat. Ini kerana terdapat IPT yang terpaksa membuat kutipan kewangan tambahan dalam kalangan staf universiti dan sumber-sumber lain untuk menampung kos makan dan minum pelajar mereka.
Tanggungjawab ini seharusnya diambil maklum oleh kerajaan dan tidak menyerahkan semua urusan dan sumber kewangan kepada pengurusan universiti sepenuhnya kerana univerisiti juga mengalami masalah dalam mencari peruntukan dana bagi memenuhi keperluan tersebut.
Oleh itu, kerajaan digesa untuk membuat pengumuman dan peruntukan tambahan secara khusus kepada IPT-IPT yang terlibat sebagai jaminan bahawa sumber kewangan bagi menjaga kebajikan mahasiswa ini benar-benar diberi perhatian dan keutamaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini.
KHAIROL NAJIB HASHIM
Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak
EXCO Pemuda AMANAH Nasional