Pemimpin Umno terus bidas Azmin, dilihat seperti cacing kepanasan

Pemimpin Umno terus bidas Azmin, dilihat seperti cacing kepanasan

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mula risau seperti cacing kepanasan dengan nasib beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti sehingga sanggup mengajak berunding mengenai pembahagian 13 kerusi panas.

Menurut Nur Jazlan, Ahli Parlimen Gombak itu mungkin dapat merasakan kedudukannya di kerusi berkenaan sudah tidak selamat kerana rakyat sudah mampu menilai kredibiliti dan kejujurannya sebagai seorang pemimpin.

“Azmin mungkin baru sedar dari mimpi indah kemudian dia dapat tahu kedudukannya sudah tak selamat sebagai wakil rakyat. Sebab itulah, dia terpaksa merayu kepada UMNO untuk berunding pembahagian kerusi panas termasuk di Parlimen Gombak.

“Azmin tahu pada PRU15 nanti dia akan kalah di Gombak jika tak dapat undi daripada orang UMNO sebab pengundi Pakatan Harapan sudah sah akan tolak beliau,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mohamed Azmin yang mewakili PN untuk mengajak UMNO kembali ke meja rundingan bagi berbincang mengenai pembahagian 12 kerusi panas yang menjadi punca keretakan hubungan dua parti itu.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, ahli UMNO sudah nampak sifat kepura-puraan pemimpin PN yang hanya mahu bekerjasama untuk mereka kekal berkuasa dan bukannya demi kesejahteraan bersama.

Jelas beliau, rakyat pula mula nampak bahawa kerajaan PN hanya bersifat sementara dan lebih beretorik dalam membela nasib mereka, sebaliknya hanya sibuk ‘membeli’ wakil rakyat supaya lompat parti serta menyokong perikatan berkenaan.

“Azmin kena tanya akar umbi UMNO adakah mereka sanggup berkompromi memberi laluan dan menyokong kepada ahli-ahli Parlimen yang pernah mengkhianati parti itu selepas PRU14 lalu.

“Orang UMNO sudah lali dengan kepuraan dan pengkhianatan wakil rakyat yang suka lompat parti ini termasuk Azmin sendiri.

“Rakyat pula sudah tahu tembelang kerajaan PN yang kononnya prihatin, namun sebaliknya sibuk berpolitik dan mencari sokongan ketika rakyat berdepan kesusahan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan juga menasihatkan Mohamed Azmin supaya tidak lagi memikirkan rundingan dengan UMNO kerana keputusan parti sudah jelas untuk tidak bekerjasama dengan PN atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/128635/BERITA/Politik/Azmin-Ali-macam-cacing-kepanasan-Nur-Jazlan