Pemimpin Umno sokong Muhyiddin khianati parti – Puad

Pemimpin Umno sokong Muhyiddin khianati parti

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno mendakwa gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap pakatan itu sengaja direka untuk menggagalkan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 pada Mac lalu.

Puad Zarkashi ketika dihubungi FMT berkata, akar umbi Umno pada perhimpunan parti terbesar itu jelas tidak mahu bersama Perikatan Nasional (PN) selepas Ogos nanti.

Justeru, beliau menegaskan sebarang penjajaran baharu yang menjurus kepada sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin Yassin dianggap mengkhianati konsensus parti.

“Mereka menggali lubang kubur sendiri jika tindakan mengkhianati parti itu diteruskan,” katanya yang mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz mengakui beliau adalah “watak utama” dalam gerakan mengumpul SD berkenaan.

“Mengadap Agong untuk apa? Untuk Hishammuddin jadi TPM (Timbalan Perdana Menteri)? Atau untuk jual Umno kepada PM 8 (Muhyiddin)?” soalnya.

Bagaimanapun beliau yakin gerakan itu tidak berjaya tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong yang berkenan Parlimen bersidang segera.

“Saya yakin Agong tidak akan layan SD ini. Sebab itu Agong mahu sidang Parlimen dibuat secepat mungkin. Biar Parlimen putuskan semuanya.

“Apa yang jelas sekarang, mereka itu yang memecah belahkan parti. Persoalannya apakah Hishammuddin merestui tindakan Nazri? Atau memang dia sedar dan terlibat merancang?” soalnya.

Beliau menjelaskan, jika benar wujud penjajaran baharu seperti yang didakwa, sudah tentu ia akan dibincangkan dan diputuskan oleh MKT.

“Prinsipnya keputusan Umno sentiasa diputuskan secara berjemaah melalui MKT. Setakat ini tiada perbincangan MKT mengenainya.

“Itu hanya provokasi oleh pihak yang mahu mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal,” katanya.

Puad yang kemudian menjelaskan panjang lebar mengenai komplot mengumpul SD itu di Facebook berkata, tindakan membisu Hishammuddin mengenai pendedahan Nazri itu disifatkan sebagai “kisah benar” dan diketahui olehnya.

“Hishamuddin tidak menafikannya. Dia kekal membisu. Bolehlah disimpulkan dakwaan Nazri itu adalah benar.

“Dengan kata lain mesti Hishammuddin merestuinya,” katanya yang turut mempersoalkan “locus standi” Hishammuddin dalam parti jika beliau mahu dilantik menjadi jurucakap BN.

“Siapa bagi autoriti? Apa ‘locus standi’ beliau (Hishammuddin). Dia bukan presiden (Umno), bukan pengerusi BNBBC dan bukan ahli MKT,” katanya.

Dalam pendedahan kepada Sinar Harian semalam, Nazri mendakwa 25 daripada 41 Ahli Parlimen BN menandatangani SD menyokong supaya Hishammuddin mewakili mereka jika dipanggil menghadap Agong.

Ahli Parlimen Umno itu mendakwa usaha itu dibuat kerana majoriti Ahli Parlimen BN hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam gabungan itu.

Lewat petang semalam pula, tular di media sosial satu gambar surat sokongan yang menunjukkan Hishammuddin mendapat sokongan sebulat suara BN untuk menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun pasukan komunikasi beliau segera menafikan dan menjelaskan bahawa surat berkenaan palsu.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/24/gali-kubur-sendiri-jika-terus-khianat-parti-kata-puad/

CATEGORIES