Pemimpin Umno sendiri yang urus Covid-19, Bersatu tempelak Najib

Najib

Pemimpin Umno sendiri yang urus Covid-19, Bersatu tempelak Najib. Dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sengaja melakukan kesilapan dalam mengurus pandemik Covid-19 supaya tempoh darurat dilanjutkan sekali gus menghalang pilihan raya umum diadakan disifatkan sebagai tidak logik.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia kerana pasukan pengurus bencana Covid-19 kebanyakannya terdiri daripada menteri UMNO sendiri.

Menurutnya, semua urusan termasuk dari segi vaksinasi, prosedur operasi standard (SOP) serta pengurusan hospital dan pasukan kesihatan dikendalikan oleh menteri UMNO.

Umno

Katanya, kesemua mereka juga berkhidmat sehabis baik demi negara.

“Tiba-tiba Najib nak fitnah menteri-menteri parti sendiri sengaja buat silap untuk memanjangkan pandemik. Mana logiknya?

“Kalau ya pun Najib stres sebab takut (dijangkiti Covid-19 dan masuk hospital) Sungai Buloh, janganlah sampai terlupa bahawa pasukan pengurus bencana Covid kita, ketua-ketuanya ramai dari UMNO yang sentiasa jalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam kerajaan PN,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat

Najib dilaporkan berkata, atas sebab perbuatan kerajaan PN yang seolah-olah sengaja buat kesilapan itulah, UMNO memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wan Saiful mendakwa, beliau juga memahami strategi yang dilakukan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menegaskan, strategi itu dipanggil ‘diversion’ atau cubaan untuk mengalih pandangan.

“Untuk membolehkan Najib dan Ahmad Zahid mengkritik Tan Sri Muhyiddin, mereka perlu alihkan pandangan supaya rakyat melihat seolah-olah kerajaan ini ada ‘team’ yang berbeza.

“Padahal sebenarnya seluruh jentera kerajaan termasuk menteri-menteri UMNO, sepakat bertungkus lumus membanteras Covid supaya kita semua menang bersama,” katanya.

Wan Saiful menjelaskan, laporan berita yang mengatakan bahawa penyokong Najib dan Ahmad Zahid dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bimbang keadaan kes Covid-19 yang reda akan merugikan parti itu sebab tidak mendapat kredit, seolah-olah menunjukkan Najib gembira sekiranya keadaan Covid-19 bertambah buruk.

“Bila rahsia pecah, nampaknya Najib sekali lagi cuba alih pandangan supaya orang tak nampak strategi sebenar beliau,” dakwanya yang turut memberitahu dalam waktu sebegini Najib seharusnya menunjukkan empati serta memberi tumpuan untuk membantu dan menjaga rakyat.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/149103/BERITA/Politik/Mana-logiknya-dakwaan-Najib-Wan-Saiful

Jika terlepas: Asyraf bidas sindiran Ketua Pemuda Bersatu