Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadakan mesyuarat tertutup dengan Biro Politik Umno Johor, dikatakan membincangkan soal pendirian dan ketetapan kerajaan negeri itu terhadap pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Mesyuarat hampir dua jam di Saujana, kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad itu turut dihadiri Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed dan beberapa pucuk pimpinan negeri.
“Mesyuarat bincang pendirian dan ketetapan Umno Johor dan kerajaan negeri. Apa selepas ini,” menurut sumber dalaman Umno Johor.
Kenderaan membawa Ismail dilihat memasuki perkarangan Saujana pada 2.15 petang tadi, sebelum meninggalkan kediaman itu kira-kira dua jam kemudian.
Ismail yang juga Naib Presiden Umno bagaimanapun enggan mengulas lanjut mesyuarat berkenaan dan FMT cuba mendapatkan komen pimpinan Umno Johor.
Sementara itu, Nur Jazlan ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu, menyifatkannya sebagai pertemuan biasa.
“Tiada apa, hanya pertemuan biasa dan makan-makan,” katanya ringkas.
Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Ismail di Istana Pasir Pelangi pagi tadi dan pertemuan itu berlangsung lebih sejam.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/13/ismail-hasni-bincang-pendirian-umno-dan-kerajaan-johor-kata-sumber/