Pemimpin Umno bidas ahli parti itu yang jadi jurucakap parti lain, lebih teruk dari yang melompat

Pemimpin Umno bidas ahli parti itu yang jadi jurucakap parti lain, lebih teruk dari yang melompat

Ketua Umno Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani mengakui bimbang dengan sikap segelintir ahli parti yang masih bersama Umno, tetapi bertindak seolah-olah menjadi jurucakap parti lain.

Johari berkata, tindakan ahli parti yang menjadi jurucakap parti lain lebih teruk daripada pemimpin yang meninggalkan Umno untuk menyertai parti seteru.

“Yang saya takut ialah yang belum lari. Yang belum lari ini, perangai lagi teruk daripada yang sudah lari.

“Mana tidaknya, dahulu sebelum kita ambil balik kerajaan, beria-ria berdegar-degar. Apabila sudah jadi menteri, jadi pula jurucakap parti lain.

“Ini kalau dalam bahasa korporatnya hilang akal,” katanya semasa berbahas dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 tanpa menamakan individu terbabit.

Katanya, ahli Umno perlu melihat keteguhan ahli PKR dan DAP yang menurutnya, tetap bersama parti walaupun tewas berkali-kali dalam pilihan raya.

“Saya ini bukanlah hendak banggakan parti orang lain. Saya hendak tuan-tuan melihat bagaimana sebuah parti bernama DAP dan PKR.

“Kita tengok dan lihat, pada 1995, DAP menang sembilan kerusi sahaja, tetapi tidak tutup parti, konsisten dan akhirnya pada 2004, DAP dapat 12 kerusi.

“Kemudian pada 2008 (28 kerusi), 2013 (38 kerusi) dan 2018 (42 kerusi).

“Mari lihat PKR, pada 2004 hanya satu kerusi sahaja menang. Pada 2013 (30 kerusi menang), 2018 (50 kerusi).

“Kita menang 13 kali, kalah sekali. Mereka pula kalah 13 kali, menang sekali. Beza mereka dengan kita yang menang 13 kali dan kalah sekali, semua lari. Itu bezanya.”

Dalam pada itu, Johari berkata, secara peribadi beliau juga kagum dengan ketetapan dan pendirian bekas presiden Umno, Najib Razak, walaupun ketika ini menghadapi tuduhan di mahkamah.

“Dalam soal ini, saya hendak puji Najib. Tidak sekalipun sejak kita kalah dan dia turun naik mahkamah, wajahnya tidak ada beza ketika Umno menang atau kalah.

“Bukan itu sahaja, puluhan ‘posting’ di Facebook, tidak sekalipun dia hentam parti Umno atau orang Umno. Tidak sekalipun.

“Walaupun saya ada perbezaan dengan Najib, tetapi dalam soal perjuangan menjaga parti, saya bersama-sama dengan beliau,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/28/ahli-umno-jadi-jurucakap-parti-lain-lebih-membimbangkan-kata-johari/

COMMENTS