Pemimpin PH adalah ‘rakan strategik’ – MB Johor

Pemimpin PH adalah ‘rakan strategik’ – MB Johor

Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dilihat mengambil pendekatan berbaik-baik dengan pembangkang dengan menyebut Pakatan Harapan (PH) di negeri itu sebagai ‘rakan strategik’.

Dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dun Johor hari ini, Hasni juga mengumumkan peruntukan tambahan secara ‘one 0ff’ sebanyak RM50,000 kepada semua Adun termasuk Adun pembangkang bagi menangani wabak Covid-19.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM200,000 diberikan kepada Adun pembangkang selepas peruntukan sebanyak RM50,000 kepada mereka dinaikkan kepada RM150,000 bulan lalu.

“Kita menganggap pemimpin PH bukan ‘orang asing’ dalam kerajaan negeri Johor.

“Para pemimpin PH adalah ‘rakan strategik’ dalam memaju dan memakmurkan negeri Johor. Sebagai ‘rakan strategik’, kita amat menghargai pandangan walaupun mungkin wujud perbezaan daripada segi pemikiran dan ideologi.

“Atas pemikiran inilah, kita mahu memberi keabsahan kepada barisan pembangkang dengan menaikkan peruntukan sebanyak RM150,000.

“Kenaikan ini adalah bertujuan untuk menjayakan pengurusan dan program berkebajikan, tanpa sebarang halangan di kawasan-kawasan yang diwakili pihak pembangkang.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga sedar bahawa isu yang berkaitan dengan Covid-19 di negeri itu semakin serius.

“Sehubungan dengan itu, peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 diberi secara one-off kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Johor,” katanya.

Hasni dilihat mengambil pendekatan berbaik-baik dengan pembangkang selepas terdapat kebimbangan bahawa Bersatu akan melakukan perkara sama dilakukan Umno di Perak, yang menyaksikan menteri besarnya, Ahmad Faizal Azumu digulingkan.

Sementara itu, Adun Skudai DAP, Tan Hong Pin mengalu-alukan pendekatan baru diambil oleh Hasni.

“Kedudukan dan fungsi wakil rakyat parti pembangkang perlu diiktiraf. YAB MB Johor telah memulakan usaha baru yang baik dan disokong padu.

“Semoga kita dapat sama-sama meletakkan batu asas untuk demokrasi yang kukuh buat negeri dan bangsa Johor yang istimewa dan tercinta,” katanya di Twitter.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/554043