Pemimpin perlu bijak dan waspada tipu daya musuh dalam politik

Ketika mempelajari ilmu Siasah atau Politik secara akademik, memang seronok dan kelihatan mudah.

Apabila masuk gelanggang politik; memang ia sangat memerlukan kebijaksanaan yang tinggi dan stamina yang di luar jangkauan.

Ketika Pembukaan Mekah; ribuan sahabat berdiri dengan menyalakan unggun api yang menggerunkan seluruh penduduk Mekah.

Walaupun pada ketika itu para sahabat Nabi, boleh sahaja menebas kepala musuh lama mereka itu, tetapi kebijaksanaan Nabi S.A.W sangat terserlah.

Memujuk Abu Sufiyan masuk Islam lebih menguntungkan daripada membiar dan mengizinkan Sayidina Omar Al-Khattab r.a membunuhnya di khalayak ramai.

Mendengar dan mempertimbangkan pandangan Sayidina Abas r.a bukanlah satu perkara yang mudah.

Bayangkan kalau ada persoalan:

“Apabila telah tersepit barulah nak masuk Islam?”.

Malah Sayidina Abas r.a mengatakan:

“Ya Rasulullah: Abu Sufyan adalah orang yang sukakan penghormatan, berikanlah sesuatu kepadanya”.

Jawab baginda S.A.W:

“Ya! Barangsiapa masuk ke rumah Abu Sufyan, orang itu selamat”.

يَا رَسُولَ اللَّهِ، إنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ يُحِبُّ هَذَا الْفَخْرَ، فَاجْعَلْ لَهُ شَيْئًا، قَالَ: نَعَمْ، مَنْ دَخَلَ دَارَ أَبِي سُفْيَانَ فَهُوَ آمِنٌ، )) . {ابن هشام ، السيرة : 4/ 27 مكتبة الايمان بمصر ، تحقيق الشيخ محمد البيومي } .

Saya yang kerdil ini sendiri bimbang, kalau ada penganalisa politik akan bertanya:

“Kenapa diberi muka kepada – orang yang pernah memerangi kita dengan ganas – dalam keadaan dia telah lemah sekarang?”.

“Kalau dia tamak kuasa, pangkat dan nama; perlukah dilayan”.

Tetapi rahsia pandangan Sayidina Abas r.a yang diterima oleh baginda S.A.W itu membuka lanskap terhebat dalam sejarah Islam di bumi Mekah itu.

Ayuh! Tingkatkan kualiti kepimpinan kita disamping sentiasa berawas daripada ditipu oleh musuh yang licik.

#RahmatanLilAlamin
#RajaDijulangRakyatDitatang
#KhadamDuniaPersilatanMelayu

HASANUDDIN MOHD YUNUS
Ahli Parlimen
P101 Hulu Langat

Naib Presiden
Parti AMANAH Negara
Sumber: