Pemimpin DAP seru kerajaan Sarawak lupakan PRN, fokus bantu rakyat dan pulih ekonomi

Pengerusi DAP Serian mendesak kerajaan negeri lebih fokus membantu rakyat, perusahaan kecil dan sederhana serta memulihkan ekonomi, bukan hanya sibuk dengan pilihan raya negeri Sarawak (PRN) ke-12.

Brolin Nicholsion berkata, kebanyakan rakyat Sarawak kini sedang bergelut mencari sesuap nasi untuk keluarga dan tidak mustahil mereka sanggup melakukan jenayah untuk terus bertahan.

“Fokus pada rakyat dan bukannya pilihan raya negeri. Mari belajar dari pilihan raya Sabah yang menjadi punca lonjakan kes Covid-19 di negara ini.

“Suntik lebih banyak sokongan kewangan untuk rakyat dan bukan sekadar janji manis berbentuk inisiatif yang hanya akhirnya tidak membawa sebarang perubahan kepada kehidupan rakyat Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Nicholsion turut mendesak kerajaan negeri mengenakan larangan perjalanan antara daerah bagi mengekang penyebaran virus dari kawasan zon merah di negeri ini. Dengan adanya larangan itu, hanya mereka yang mendapat kelulusan polis boleh melakukan perjalanan antara daerah.

Sehingga semalam, 29 dari 40 daerah di Sarawak adalah zon merah.

Katanya, langkah seperti itu dapat mengekang penyebaran Covid-19 di Sarawak memandangkan negeri itu melaporkan banyak kes baru-baru ini.

“Sebagai contoh, mereka yang tinggal di Kuching lebih suka pergi ke Serian untuk mencari durian atau tempat makan kerana mereka merasa tidak selamat untuk bergerak di Kuching. Tetapi, mereka tidak sedar bahawa mereka juga mungkin menyebarkan virus dan menjangkiti orang yang tinggal di zon hijau.

“Dengan mengenakan sekatan perjalanan antara daerah, hanya mereka yang melakukan perjalanan untuk tujuan perniagaan dibenarkan. Selain itu, ia juga membantu mengawasi mereka yang masuk dari zona merah,” katanya.

Nicholsion berkata, sudah tiba masa kerajaan Sarawak bertindak berdasarkan kebijaksanaan mereka sendiri dan mengutamakan rakyat di Sarawak serta tidak bergantung kepada keputusan dibuat kerajaan pusat. – FMT