Pemimpin Bersatu sergah Menteri Umno agar letak jawatan segera

Pemimpin Bersatu sergah Menteri Umno agar letak jawatan segera

Di sebalik Perhimpunan Agung UMNO atau PAU semalam telah memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu dan akan keluar daripada kerajaan menjelang 1 Ogos, seorang pemimpin Bersatu menyergah beberapa menteri UMNO dengan menyarankan agar mereka meletakkan jawatan dengan segera.

Dengan melabelkan mereka sebagai panglima perang berwajah dua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Redzuan Md Yusof berkata, sikap menteri terbabit yang jelas tergambar dalam ucapan di PAU semalam sama sekali tidak boleh diterima.

“Menteri-menteri ini bersikap lain di depan (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin, tetapi ketika mereka berada dalam kalangan ahli parti sendiri, mereka bersikap sangat berbeza.

“Bagi saya, menteri ‘dua wajah’ ini boleh pergi. Sekiranya anda tidak mahu jadi sebahagian daripada kerajaan, jangan jadi,” katanya kepada portal berita FMT.

Maka, di mana menteri-menteri UMNO berkenaan nak letak muka?

Tidak malukah terus berada sebagai anggota kabinet dalam kerajaan yang telah dicerca dan mahu diputuskan hubungan?

Kenapa tidak segera letak jawatan?

Redzuan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Wan berkata, mereka yang berada dalam kerajaan mesti tegas dalam pendirian dan pegangan.

“Adakah anda mahukan perpaduan antara ummah supaya negara boleh maju ke depan atau adakah anda mahu meneruskan budaya panglima perang dalam UMNO?” soalnya.

Beliau bagaimanapun “lega” apabila PAU semalam telah menunjukkan “perangai sebenar” panglima perang UMNO, termasuk mereka yang ada dalam Jemaah Menteri.

“Budaya panglima perang masih ada. Kita tahu beberapa personaliti dalam UMNO mahu menggunakan parti itu untuk menjaga diri sendiri, untuk melepaskan diri dari keadilan.

“Ia mengecewakan ada orang lain mahu jadi sebahagian daripada itu,” tambah beliau yang juga Ahli MPT Bersatu.

Mengenai resolusi yang diluluskan UMNO, termasuk menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 akan datang, Pak Wan berkata, perkembangan itu tidak mengejutkan.

“Kita (Bersatu) akan bertemu hari ini atau esok untuk membincangkan pendirian dan respon terhadap perkara itu.

“Untuk PRU15, Muhyiddin sudah menyatakan dengan jelas kita sedia bersaing dengan UMNO

“Walaupun kita mahu semua parti Melayu bekerjasama, kalau UMNO sudah mencabar, kita akan sahut,” tegasnya.

Pada Sabtu lepas, Muhyiddin berkata, Bersatu sedia bertanding di setiap kerusi yang ditandingi UMNO tidak kira satu lawan satu, satu lawan dua atau tiga

Berita Penuh :https://shahbudindotcom.net/2021/03/29/mana-nak-letak-muka-pemimpin-bersatu-mahu-menteri-umno-segera-letak-jawatan.html