Pemimpin Bersatu pertikai Najib terus dapat keistimewaan

Najib

Pemimpin Bersatu pertikai Najib terus dapat keistimewaan.Datuk Seri Najib Razak sudah terbukti bersalah dan disabitkan hukuman terhadap jenayah dilakukannya, namun mengapa kerajaan masih memberi keistimewaan kepadanya, kata Bersatu Johor.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri mendesak kerajaan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi penjelasan sama ada layanan istimewa itu mengikut lunas undang-undang atau kerana status Najib seorang bekas Presiden UMNO walhal sudah didapati bersalah di mahkamah.

“Selain soal keistimewaan menangguh hukuman dan memiliki pasport antarabangsa, kerajaan wajar menyemak hak beliau bebas bergerak dalam negara dan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen.

“Semua ini mesti dibezakan sama ada ia satu keistimewaan ataupun hak mutlak yang dijamin atau dilindungi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun Najib merupakan bekas PM tetapi sebenarnya berstatus seorang banduan, malah sudah didapati bersalah di dua mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan berhubung pertuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Bersatu

Solihan berkata sekiranya keistimewaan kepada Najib itu tidak mengikut lunas undang-undang, sepatutnya ia perlu ditamatkan serta-merta kerana ia memberi imej tidak baik kepada negara.

“Jika keistimewaan kepada Najib diberi tanpa menggunakan kuasa undang-undang, maka, keistimewaan itu mesti ditamatkan serta-merta kerana ia bakal memberi pelbagai impak buruk,” katanya lagi.

Antaranya impak itu, kata Mohd. Solihan, mencetus persepsi buruk terhadap kewibawaan sistem tadbir urus dan perundangan negara, menjejaskan institusi kehakiman dan Parlimen serta mencalarkan imej negara dan politik Malaysia pada kaca mata rakyat sendiri mahupun masyarakat antarabangsa.

Sehubungan itu kerajaan perlu menamatkan isu keistimewaan dalam kes berkenaan dengan telus, tegas dan serta-merta bagi mengelak persepsi menjadi lebih buruk.

“Kes Najib mendapat liputan media di seluruh dunia dan ini memberi impak mega kepada imej serta kewibawaan Malaysia. Ini juga menjejaskan keyakinan pelabur dan sokongan antarabangsa terhadap negara,” ujarnya.

Mohd. Solihan bagaimanapun mengakui sistem pentadbiran jenayah di negara ini membenarkan penangguhan hukuman di bawah undang-undang sedia ada dan ia perlu dihormati.

“Namun, ini tidak bermakna Najib yang telah didapati bersalah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dan seterusnya menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan boleh dianggap bersih serta tidak bersalah.

“Hakikatnya, status bekas Perdana Menteri itu seperti yang telah diputuskan kedua-dua mahkamah adalah bersalah dan disabitkan atas semua pertuduhan,” jelasnya.

BACA: Naib Presiden UMNO akui kerajaan memerintah bukan sebab BN menang PRU

Artikel ini disiarkan pada 12/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)