Pemilihan Dap Perak bertukar kecoh, ‘hantu’ dikatakan berkeliaran

Pemilihan Dap Perak bertukar kecoh, ‘hantu’ dikatakan berkeliaran

Konvensyen DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini hari ini kecoh dengan dakwaan berlaku penipuan mengenai jumlah perwakilan yang dibenarkan untuk mengundi bagi memilih ahli jawatankuasa DAP negeri.

Dakwaaan itu ditimbulkan oleh kumpulan dari gandingan Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran apabila pihak penganjur terus membenarkan perwakilan membuat pendaftaran untuk mengundi lebih daripada masa yang ditetapkan.

Menurut seorang jurucakap daripada kumpulan Kula dan Thomas Su yang enggan dikenali, sepatutnya pendaftaran untuk perwakilan yang akan mengundi hanya dibenarkan setakat pukul 11.30 pagi sahaja.

Katanya, namun apa yang menghairankan pendaftaran terus dibuka sehingga lebih pukul 12 tengah hari.

“Sepatutnya perwakilan yang dibenarkan mengundi mempunyai pas khas namun saya lihat ada yang mendaftar untuk mengundi dengan hanya menulis nama mereka dalam borang pendaftaran perwakilan.

“Kami percaya ini adalah satu penipuan dan taktik untuk membenarkan lebih ramai perwakilan mengundi. Kami percaya wujud pengundi hantu pada pemilihan kali ini,” katanya.

Sebelum itu, kekecohan berlaku di luar dewan persidangan semasa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sedang berucap merasmikan persidangan apabila sekumpulan perwakilan dipercayai dari kumpulan Kula dan Thomas Su bertindak membantah pendaftaran perwakilan masih dibuka melepasi masa yang ditetapkan.

Kekecohan cuba dikawal oleh petugas keselamatan dan berlaku tolak menolak dan beberapa perwakilan parti menjerit mahukan penjelasan.

Kumpulan berkenaan kemudiannya memasuki dewan untuk membantah perkara itu namun keadaan kembali tenang selepas itu.

Sementara itu, sesi pengundian untuk memilih 15 ahli jawatankuasa DAP Perak diteruskan dan bermula pada pukul 1 tengah hari. Proses pengundi berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.

Konvensyen DAP kali ini menyaksikan penentang terbuka terhadap kepimpinan Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming di Perak oleh gandingan Kula dan Thomas Su.

Ini merupakan kali kedua selepas 10 tahun lalu gandingan Thomas Su dan Kula sekali lagi cuba mencabar gandingan Nga dan Ngeh dalam pemilihan parti peringkat negeri.

Konflik dua kem itu bukan rahsia dalam DAP Perak sehingga pasukan Thomas-Kula sekali lagi mencabar barisan kepimpinan sedia dengan alasan didesak oleh akar umbi DAP yang mahukan perubahan di dalam organisasi.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/03/pemilihan-dap-perak-kecoh-dakwaan-berlaku-penipuan/