Pembalakan tular lulus zaman Umno jadi kerajaan, kata MB Kedah

Pembalakan tular lulus zaman Umno jadi kerajaan, kata MB Kedah

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor malam ini tampil memberitahu kelulusan untuk Hutan Simpan (HS) Bukit Enggang di Sik berlaku pada 2017.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi (JKTHB) yang bersidang pada 14 Disember 2017 telah meluluskan satu kawasan pembalakan kepada Yayasan Islam Negeri Kedah seluas 200 hektar di Kompartmen 12, HS Bukit Enggang.

Reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkenaan bagi mengulas kritikan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

“Tak reti-reti nak selidik dulu sebelum mengata kat orang?” bidas Sanusi.

Terdahulu, Sabrina menegaskan Islam tidak mengajar penganutnya memusnahkan alam sambil berkongsi gambar papan projek Lesen Mengambil Hasil Hutan oleh pelesen Yayasan Islam Negeri Kedah kepada kontraktor Teik Meng Enterprise.

“Hipokrit yang melampau. Islam tidak ajar musnahkan alam,” katanya.

Tempoh berkuatkuasa lesen di Kompartmen 12, HS Bukit Enggang itu bermula dari 26 November 2020 hingga 25 Mei nanti.

Mengikut laman web Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, HS Bukit Enggang ditubuhkan pada 1967 dengan mempunyai 16 Kompartmen kesemuanya.

Pada 24 November tahun lalu, Pejabat Menteri Besar Kedah telah memaklumkan mesyuarat JKTHB pada 1 Disember 2017 meluluskan kawasan seluas 1,400 hektar untuk aktiviti pembalakan, manakala 380 hektar lagi diluluskan pada 14 Disember 2017.

Pejabat Menteri Besar Kedah menegaskan aktiviti pembalakan tidak dijalankan di kawasan yang digazetkan sebagai Hutan Perlindungan atau Hutan Simpan Kekal.

Semakan Malaysia Dateline mendapati kelulusan untuk keseluruhan seluas 1,780 hektar hutan itu dibalak berlaku ketika Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menjadi Menteri Besar.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menjadi Menteri Besar antara 4 Februari 2016 hingga 10 Mei 2018.

Wakil rakyat Umno itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah setelah pendahulunya Mukhriz Mahathir meletakkan jawatan pada 4 Februari 2016.

Hutan miskin

Sejak pertengahan tahun 2017, aktiviti pembalakan membabitkan lebih 500 hektar tanah di kawasan HS Bukit Enggang berlaku menyebabkan sumber air di tiga kampung berdekatan tercemar dengan sisa lumpur.

Kampung terlibat ialah Kampung Balong Ayam, Kampung Durian Burung dan Kampung Paya Terendam.

Kegiatan pembalakan secara tebang habis pada 2017 itu untuk tujuan projek ladang hutan di sebahagian HS Bukit Enggang melibatkan Kompartmen 12, 13, 14 dan 15.

Jabatan Perhutanan Negeri Kedah sebelum ini mendakwa kawasan HS Bukit Enggang yang dicadangkan untuk projek ladang hutan adalah ditakrif sebagai hutan miskin.

Walau bagaimanapun, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam kenyataan pada 21 Disember 2017 menolak dakwaan tersebut kerana didapati sebahagian besar saiz kayu-kayuan yang ditebang berukuran lebih 55 sentimeter.

Untuk rekod, JPNK bertanggungjawab memberi nasihat kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) berkaitan pentadbiran sumber hutan negeri untuk penghasilan pendapatan yang optimum kepada kerajaan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara bagi negeri Kedah pada 2017, hasil hutan bagi tempoh tahun 2015 hingga 2017 ialah sejumlah RM144.24 juta.

Pada akhir tahun 2016, keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) adalah 341,976 hektar terdiri daripada 335,775 hektar kawasan hutan darat dan 6,201 hektar hutan paya laut.

Kawasan HSK meliputi 36.2 peratus daripada 943,468 hektar keluasan
keseluruhan Kedah.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/200-hektar-hutan-simpan-di-kedah-dilulus-untuk-dibalak-ketika-mb-umno/