Seorang pemandu teksi di Thailand terkejut apabila diberikan dua nota wang kertas bernilai 1,000 euro selepas berjaya menghantar penumpangnya tepat pada masanya, lapor The Thaiger.
Menurut pemandu teksi tersebut, penumpang warga asing itu berjanji memberikan tip sebagai ganjaran jika dapat menghantarnya ke lapangan terbang pada masanya.
Kisah menarik itu dikongsikan oleh pemandu teksi di laman kumpulan Facebook yang dikenali sebagai Pemandu Teksi Thailand.
Satu nota kertas tersebut bernilai RM2,533 dan jika dijumlahkan, nilainya melebihi RM5,000.
Pemandu teksi itu menyatakan tambang perjalanan itu hanya bernilai 677 baht (RM88), dan disebabkan penumpang terdesak, dia akhirnya menerima ganjaran yang sangat besar.
Pemandu teksi tersebut menerangkan bahawa dia membawa penumpang warga asing dari bandar raya ke Lapangan Terbang Don Mueang. Namun, kesilapan berlaku kerana sepatutnya penumpang itu dihantar ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi, bukan Don Mueang.
Oleh itu, penumpang memberi pemandu teksi itu tempoh 30 minit untuk menghantarnya dari Don Mueang ke Suvarnabhumi.
Bayaran istimewa jika berjaya hantar pada masanya
Menurut laman berita Sanook, disebabkan kecemasan penumpang, dia menawarkan bayaran istimewa kepada pemandu teksi tersebut jika berjaya sampai ke destinasi pada masanya untuk mengelakkan kelewatan penerbangan.
Susulan kejadian tersebut, pengguna media sosial kemudiannya mempertikaikan keaslian wang kertas tersebut. Seorang pengguna menyatakan bahawa wang kertas bernilai 500 euro jarang ditemui dan sudah tidak dikeluarkan sejak bertahun-tahun.
Pemandu teksi itu membalas dengan menyatakan bahawa wang kertas itu adalah tulen. “Pada mulanya, saya ragu untuk menerimanya kerana ia sangat asing bagi saya dan saya takut ditipu,” kata pemandu teksi tersebut.
Pemandu teksi itu juga memaparkan bukti bahawa dia berjaya menukarkan wang kertas tersebut dengan jumlah wang sebanyak 37,600 Baht.