Pemandu mabuk sebabkan kematian kakitangan Alam Flora dikenakan bon berkelakuan baik, denda

Rakyat

Seorang peraih ikan hari ini dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Tinggi di Kuantan kerana memandu dalam keadaan mabuk dan melawan arus sejauh tujuh kilometer sehingga menyebabkan kematian seorang kakitangan Alam Flora.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Teoh Kian Peng, 43, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Sebelum ini Teoh didakwa membunuh Irwan Herman Kamaruddin, 41, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pemandu mabuk sebabkan kematian kakitangan Alam Flora dikenakan bon berkelakuan baik, denda

Hari ini Teoh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memandu dalam keadaan melebihi kadar alkhohol yang dibenarkan sehingga menyebabkan kematian Irwan Herman di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran sebuah stesen minyak di Bukit Rangin di sini pada jam 9.20 malam, 25 Mei 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 44(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 44 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.

Hakim itu mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagar RM20,000 dengan seorang penjamin dan denda RM8,000 atau penjara empat bulan selain perlu mematuhi syarat tidak boleh menyertai aktiviti berkaitan alkohol selama dua tahun.

Teoh juga diwajibkan melapor diri di balai polis pada Isnin pertama setiap bulan, selain lesen memandunya digantung selama lima tahun dengan butiran kesalahan dicatat pada lesen itu.

“Jika tertuduh melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan, seperti ditangkap memandu dalam keadaan mabuk atau ditahan mengambil minuman beralkohol di pub atau sebagainya, maka tertuduh akan dibawa ke mahkamah ini untuk terus dipenjara selama lima tahun,” kata hakim itu dalam penghakimannya.

Selain itu, Zainal Azman juga memerintahkan Teoh, yang merupakan bapa kepada tiga anak berusia antara 12 dan 17 tahun untuk membayar sejumlah pampasan yang sudah dipersetujui dengan keluarga mangsa dalam tempoh 14 hari dari hari ini.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara 80 hari bermula dari tarikh tangkap, denda RM5,000 atau penjara dua bulan penjara dan butiran kesalahan dicatatkan pada lesen ke atas Teoh bagi pertuduhan kedua iaitu memandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam pada waktu dan tempat sama.

Tertuduh ditangkap pada 25 Mei 2020 dan telah berada dalam penjara selama 86 hari, selepas dihadapkan ke mahkamah di sini pada 1 Jun 2020 atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin.

Zainal Azman dalam penghakimannya menyifatkan kes itu sebagai kejadian tragis pelanggaran dua buah kereta, yang mana tertuduh tidak menafikan kesilapannya telah menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak boleh diganti.

“Mahkamah juga dimaklumkan tentang usaha murni tertuduh yang berbincang sendiri dengan keluarga si mati untuk membantu mereka, selain telah mendengar keterangan ayah si mati (Kamaruddin Darsono, 66) berhubung persetujuan pampasan antara kedua-dua pihak,” katanya.

Selain itu, Zainal Azman berkata mahkamah juga mengambil kira rayuan tertuduh berhubung tahap kesihatannya iaitu mengalami sakit tulang belakang termasuk pernah menjalani pembedahan di hospital swasta pada September tahun lalu dan masih menjalani sesi fisioterapi selain menghidap hipertensi dan hepatitis B.

Teoh diwakili barisan peguam Mohamad Hamizey Mat Taib, Datuk Zailan Mohamed dan Muhammad Syazwan Mohd Salleh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal Abu Hassan dan peguam Muhammad Saifuldin Ab Rahman hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

Irwan Herman semasa kejadian memandu Toyota Yaris miliknya dari rumahnya di Sungai Isap Perdana di sini, untuk ke tempat kerja di Depoh Alam Flora di Gebeng manakala tertuduh dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kemunting di sini, dari rumah rakannya di Semambu.

Mangsa yang parah di kepala dan dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/593381

BACA JUGA : Projek naik taraf Seri Perdana diluluskan waktu Muhyiddin jadi PM

COMMENTS

Wordpress (0)