Pemandu e-hailing bingung dikompaun walau dokumen lengkap

Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing membuat aduan selepas dikompaun RM5,000 dalam sekatan jalan raya (SJR) walaupun menyediakan dokumen lengkap ketika menghantar seorang penumpang ke daerah lain minggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin, berkata pemandu itu mempunyai surat daripada syarikat penyedia perkhidmatan e-panggilan, surat kebenaran Kementerian Pengangkutan dan lesen memandu kenderaan awam (PSV).

Bagaimanapun, dia diberitahu oleh polis yang menjaga SJR bahawa kenderaan awam seperti bas dan keretapi tidak dibenarkan untuk merentas daerah.

“Polis tidak membenarkan dia membuat penjelasan atau membuat pusingan U dan beredar. Mereka terus mengeluarkan notis dan didenda walaupun dia sanggup menurunkan penumpang di SJR berkenaan,” kata Phoong dalam kenyataan hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali, ketika mengulas isu itu berkata, kedua-dua pemandu dan penumpang tidak mempunyai permit diperlukan untuk rentas daerah.

“Walaupun jika mereka mempunyai surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), semua kenderaan awam tidak dibenarkan rentas daerah ketika ini (atas arahan kerajaan Sabah),” katanya.

“Tetapi tidak mengapa,…kami akan menyiasat secara terperinci perkara ini, jika ia tidak benar, kami akan mengambil tindakan,” katanya.

Phoong berkata, pemandu berkenaan, Lai Kok Sheng, mengambil seorang penumpang di Penampang pada 12 Jun lalu yang mahu pulang ke rumahnya di Kinarut yang terletak bersebelahan daerah Papar.

“Lai berkata, polis terus mengeluarkan notis kompaun meskipun dia sanggup menurunkan penumpang di SJR berkenaan,” katanya.

“Bagaimanapun e-panggilan tidak langsung disebut dalam pelaksanaan SOP. E-panggilan adalah sebahagian daripada perkhidmatan perlu, lebih-lebih lagi penumpangnya juga dari perkhidmatan perlu yang mempunyai surat kebenaran diperoleh daripada MITI. Mengenakan kompaun terhadap pemandu e-panggilan adalah tidak munasabah,” katanya.

Katanya, Lai mendapatkan pertolongannya selepas rayuannya kepada pihak berkuasa berkuasa tidak diendahkan.

Beliau berkata, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong mesti menjelaskan mengapa perkara itu berlaku dan beliau meminta kerajaan negeri menyediakan penjelasan sama ada perkhidmatan e-panggilan dibenarkan rentas daerah.

Wee sebelum ini menjelaskan bahawa semua kenderaan awam dibenarkan beroperasi dengan surat kebenaran kementerian ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dan mesti mendapatkan kebenaran rentas daerah dan negeri daripada polis.

Awal bulan ini Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata mereka yang bekerja di perkhidmatan perlu tidak perlu kelulusan MITI untuk rentas daerah tetapi mesti mempunyai surat pekerjaan dan kebenaran rentas daerah/negeri daripada polis.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/19/ada-surat-kebenaran-tapi-dikompaun-rm5000-pemandu-e-panggilan-bingung/

CATEGORIES