Pemandu bas bawa petugas PRN Sabah didapati positif Covid-19

Pemandu bas bawa petugas PRN Sabah didapati positif Covid-19

Kes indeks bagi kluster Ramai-ramai di Sandakan, Sabah, iaitu seorang pemandu bas didapati membawa pekerja pilihan raya dalam PRN Sabah bulan lalu, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejumlah 22 daripada 354 kes yang dilaporkan hari ini melibatkan mereka dalam kluster itu.

“Masih ada 48 (kluster aktif) termasuk tiga yang baru hari ini.

“(Antaranya) Kluster Ramai-ramai di Sandakan yang mana kes indeks melibatkan pemandu bas yang bawa pekerja PRN Sabah.

“Hari ini, ada tambah 22 kes daripada kluster ini, (jumlah) keseluruhan 48 kes,” katanya ketika sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Sidang media dibuat di rumahnya, di mana Noor Hisham menjalani kuarantin susulan menjadi kontak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad yang disahkan positif awal minggu ini.

Setakat tengah hari ini, KKM telah membuat ujian saringan terhadap 393 orang yang berkaitan dengan kluster itu.

Bagaimanapun, tidak dimaklumkan jumlah penumpang bas yang dipandu kes indeks tersebut.

Kluster Ramai-ramai dikesan apabila pemandu itu disahkan positif pada 3 Oktober lalu. Dia pada mulanya dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan selepas menunjukkan gejala demam dan sakit tekak pada 27 September.

Sementara itu, Noor Hisham berkata setakat ini terdapat 150 kluster di Malaysia, dengan 102 telah berjaya ditamatkan.

Ia termasuk kluster Telaga di Kedah, yang berkahir hari ini selepas tiada lagi kes baru untuk 28 hari berturut-turut.

Ia melibatkan 16 kes positif. Tiada kematian dilaporkan berkaitan kluster itu.

KKM turut yakin pihaknya telah berjaya mengawal kluster Tawar dan kluster Sungai, juga di Kedah, selepas tiada kes baru dalam masa beberapa hari ini.

Setakat ini, menurut Noor Hisham, sebanyak 25,406 orang dalam kluster Tawar telah disaring dengan 101 didapati positif.

Bagi kluster Tawar, seramai 18,272 orang disaring dengan 92 positif.

“Kedua-duanya tidak menunjukkan pertambahan kes sejak beberapa hari lalu.

“Kita akan pantau selama 28 hari sebelum tamatkannya,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/545932