Peluh di ketiak jadi sampel untuk uji alat kesan Covid-19

Peluh di ketiak jadi sampel untuk uji alat kesan Covid-19.Bagi golongan penjual dan penjaja di pasar Bangkok, peluh dari ketiak yang membasahi baju mereka sewaktu musim tengkujuh yang lembap berkemungkinan mengandungi tanda jangkitan Covid-19, ujar saintis tempatan.

Agensi berita AFP melaporkan, pasukan penyelidik Thailand sedang membangunkan alat pengesan virus mudah alih yang berpandukan titisan peluh, dan minggu ini sedang diuji cuba dalam kalangan pekerja di pasar Bangkok.

“Daripada sampel itu, kami mendapati bahawa orang yang dijangkiti Covid-19 mengeluarkan sejenis kimia yang khusus.

“Kami menggunakan penemuan ini untuk mencipta alat bagi mengesan bau badan khusus yang dihasilkan dalam peluh mereka yang positif Covid-19,” ujar Chadin Kulsing dari Universiti Chulalangkorn.

Chadin, yang mendakwa ujian itu mempunyai ketepatan 95 peratus, berharap ia akan diguna pakai sebagai alternatif pada harga berpatutan, berbanding ujian calitan mahal yang memerlukan pemprosesan di makmal.

Peluh

Alat itu bagaimanapun masih dalam peringkat pembangunan, dan kerja penyelidikannya masih belum diterbitkan atau dinilai.

Kumpulan saintis berkenaan menggunakan sejenis alat yang lazimnya digunakan untuk mengesan bahan kimia toksik dalam persekitaran.

Subjek ujian akan meletakkan calitan kapas di ketiak mereka selama 15 minit, sebelum calitan itu dimasukkan ke dalam tiub kaca dan disteril dengan sinaran ultra ungu.

“Juruteknik pula akan mendapatkan sejumlah sampel dengan tiub sedutan dan kemudian memampatkannya di dalam mesin analisis untuk memeriksa hasilnya,” jelas Chadin.

Pengambilan sampel memerlukan masa selama 15 minit, sementara hasil ujian boleh didapati dalam masa 30 saat.

Ujian daripada peluh itu amat disenangi para pekerja di pasar Bangkok berkenaan, yang mendakwa kaedahnya lebih ‘mesra’ berbanding ujian calitan menerusi lubang hidung.

“Ujian menggunakan peluh ini lebih selesa dan mudah kerana saya boleh meneruskan kerja sementara menunggu hasilnya,” kata seorang penjual.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/160641/GLOBAL/Thailand-uji-alat-pengesan-Covid-19-guna-sampel-peluh-ketiak

BACA: Panas !!! Bekas pegawai kerajaan dedah ‘cara’ Mahathir sekat kebebasan perkhidmatan awam

COMMENTS