Pelbagai pihak kecam keputusan benarkan sektor penyumbang utama Covid-19 beroperasi

Keputusan kerajaan melarang perniagaan tidak perlu yang bebas daripada Covid-19 sambil membenarkan industri dengan jumlah kes yang tinggi untuk terus beroperasi mendapat kecaman.

Dalam kenyataan, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, menyelamatkan nyawa tidak seharusnya dengan mengorbankan perniagaan yang mematuhi protokol standard kesihatan dan merekodkan hanya sedikit kes Covid-19.

“Walaupun saya setuju sektor pembinaan adalah perkhidmatan perlu yang harus terus beroperasi, terdapat banyak kes Covid-19 dalam kalangan pekerja di sektor pembinaan.

“Namun, terdapat banyak perniagaan lain yang mempunyai sedikit atau bahkan tidak ada kes Covid-19, tetapi masih tidak dibenarkan beroperasi hanya kerana mereka tidak diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu,” kata setiausaha agung DAP itu.

Hanya perniagaan yang disenaraikan sebagai perlu dibenarkan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) selama dua minggu yang berkuat kuasa semalam.

Lim berkata, jika kerajaan enggan memberikan bantuan kewangan, perniagaan kecil tidak patut dilarang beroperasi.

“Jika tidak, kerajaan harus bertanggungjawab kerana menyebabkan lebih banyak penutupan perniagaan dan kehilangan pekerjaan.”

Kenyataan beliau senada dengan seorang lagi pemimpin DAP, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, yang mempersoalkan bagaimana kerajaan hendak mencapai keberkesanan PKP ketika kebanyakan sektor ekonomi masih beroperasi termasuk industri yang berkaitan dengan kluster Covid-19.

Lim juga mempersoalkan keperluan darurat diisytiharkan, dengan mengatakan PKP sudah cukup untuk menangani peningkatan kes Covid-19.

“Bagaimana pula dengan menggantung Parlimen dan memberikan Muhyiddin kuasa darurat boleh membantu untuk menang dalam perang terhadap Covid-19?,” katanya, merujuk kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap darurat yang akan membolehkan kontrak perolehan kerajaan yang besar ditandatangani tanpa tender terbuka, yang menyebabkan kemungkinan berlaku rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Tambahan kepada Parlimen yang dibungkam, bagaimana rungutan rakyat, terutama dari perusahaan kecil sederhana yang terkesan akibat sekatan dapat ditangani?” katanya, sambil menambah beliau menerima banyak aduan tentang kesukaran perniagaan untuk mendapatkan kelulusan beroperasi dalam tempoh sekatan kerana mereka tidak dianggap sebagai perkhidmatan perlu.

Semalam, ramai peniaga turut mempersoalkan logik menghentikan mereka berniaga kerana barangan mereka “tidak perlu” manakala pasar raya besar dibenarkan menjual barang sama.-FMT

COMMENTS

Wordpress (0)