Pelancongan Pulau Pinang akan dipromosikan secara agresif – Chow

Kerajaan Pulau Pinang akan terus mempromosikan pelancongan negeri secara agresif dengan menawarkan pengalaman pengembaraan unik kepada pelancong, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata pengguna media sosial hari ini bukan sahaja berkongsi destinasi mereka tetapi juga pengalaman pengembaraan, menjadikan kunjungan mereka sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

“Kami mahu pelancong selesa dengan kunjungan mereka ke Pulau Pinang dan memberikan mereka pengalaman unik supaya dapat berkongsi dan mengajak rakan-rakan dan keluarga datang dan merasai pengalaman yang ditawarkan negeri ini,” katanya ketika merasmikan Festival Makanan dan Kebudayaan Asia di sini malam tadi.

Festival yang julung kali diadakan pada 13 hingga 15 Sept ini akan menampilkan pelbagai juadah dan budaya dari lima negara iaitu Indonesia, Thailand, China, Jepun dan Korea Selatan.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri (PETACH) Yeoh Soon Hin berkata festival dengan slogan ‘Experience Penang, Taste Asia’ itu bertujuan membolehkan pengunjung merasai pengalaman Asia menerusi makanan dan aktiviti kebudayaan yang menarik.

Yeoh berkata festival itu akan diadakan di lima pusat membeli-belah di sekitar negeri, dengan setiap pusat membeli-belah mewakili negara tertentu.

“PETACH berharap dapat meletakkan Pulau Pinang sebagai hab makanan Asia dan menjadikan festival ini sebagai acara makanan dan kebudayaan yang mesti dihadiri untuk menarik pengunjung merasai pengalaman Asia di negeri ini,” katanya.

BERNAMA