Rata-rata pengayuh beca di Melaka kecewa dengan keputusan kerajaan negeri masih menangguhkan pembukaan sektor pelancongan negeri pada 1 Okt ini, namun kebanyakan mereka faham dan akur dengan keputusan itu walaupun telah membuat segala persediaan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang terpelihara.
Sulaiman Abd Wahab, 62, berkata semua pengayuh beca di negeri itu sanggup mengeluarkan belanja bagi menghias dan mencantikkan beca mereka selain memastikan masing-masing telah lengkap divaksin Covid-19 apabila diberitahu sektor pelancongan Melaka akan dibuka awal bulan depan.
“Pada mulanya kami gembira dan bersemangat apabila mendapat tahu sektor pelancongan Melaka boleh dibuka pada 1 Okt ini selepas setahun tidak beroperasi akibat pandemik Covid-19.
Pengayuh beca, Sulaiman Abd Wahab, 62, (kanan) dan Hararana Jeet Singh, 66, menunjukkan sijil vaksinasi Covid-19 masing-masing ketika ditemui di Bandar Hilir, Melaka. (Gambar Bernama)
“Namun apabila kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkannya, agak kecewa kerana kita telah membuat pelbagai persiapan dan tinggal tunggu beroperasi sahaja,” katanya ketika ditemui di Program Penyerahan Kit Bantuan Makanan dan Kit Cegah Covid-19 kepada Pengayuh Beca Melaka di Banda Hilir, semalam.
Sulaiman yang sudah 35 tahun mengayuh beca sepenuh masa berkata mereka tiada pilihan selain bersetuju dengan keputusan itu dan berharap kerajaan negeri dapat membuat keputusan segera untuk membuka sektor pelancongan.
Katanya, beliau bernasib baik mampu meneruskan kehidupan kerana dibantu anak-anak dari segi kewangan, selain mendapat sumbangan barangan keperluan seperti makanan daripada pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib pengayuh beca.
Berkongsi kekecewaan sama, Hararana Jeet Singh, 66, berkata pengayuh beca di negeri ini tidak boleh bergantung kepada pelancong domestik dari dalam Melaka sahaja kerana jumlah yang menaiki kenderaan itu kecil berbanding pelancong domestik luar seperti dari Kuala Lumpur dan Selangor.
“Saya sudah lebih dua bulan dapat vaksin dos kedua dan tidak sabar untuk mengayuh beca semula kerana itu sahaja mata pencarian saya sejak 20 tahun lepas.
“…nak tak nak, kita kena tunggu sampai pertengahan Oktober untuk kerajaan negeri buat keputusan membuka sektor pelancongan. Dapat dua tiga ‘trip’ lebih baik daripada tiada langsung,” katanya.
Bagi menampung kehidupan, beliau melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan yang membolehkan beliau memperoleh bayaran RM100 sebulan, selain menerima bantuan lain daripada pelbagai pihak.
Pada Khamis, Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali mengumumkan sektor pelancongan negeri itu di bawah inisiatif gelembung pelancongan tidak akan dibuka pada 1 Okt ini, sehingga kadar vaksinasi negara mencapai tahap 90% dan prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor itu dimuktamadkan.
Sebelum itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri mengumumkan tiga destinasi pelancongan iaitu Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman akan dibuka pada 1 Okt ini.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/25/pembukaan-sektor-pelancongan-ditangguh-pengayuh-beca-melaka-akur/