Pelancaran Bulan Kebangsaan di Melaka imbau detik pengumuman tarikh kemerdekaan

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 pada 3 Ogos di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini dilihat bakal mengimbau kembali detik pengumuman tarikh kemerdekaan negara  oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, 63 tahun lepas.

Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd Rizal Hashim berkata program yang julung kali diadakan di Melaka itu juga disifatkan bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2019 yang sedang giat dipromosikan dengan tema ‘A Gateway to Historic Malaysia’.

“Program ini akan menjadi acara paling bersejarah pada tahun ini kerana lokasinya merupakan tempat pengumuman tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Feb 1956 yang diumumkan perdana menteri pertama itu.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, kita jangka lebih 30,000 orang akan hadir pada malam pelancaran yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan segala persiapan bagi majlis itu, kini berjalan dengan lancar,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata pelbagai aktiviti termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 (KMJG19), pameran ‘Caring Bridge’, ‘Mapping’ Bandaraya Melaka dan ‘Wrapping’ kenderaan awam, larian merdeka, gerai jualan dan trak makanan telah disusun untuk pengunjung yang hadir.

Mohd Rizal berkata program kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Penerangan, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan pihak berkuasa tempatan itu dijangka diadakan raptai pelancarannya pada 2 Ogos ini.

Katanya, program yang berlangsung dari 1 Ogos sehingga 4 Ogos itu turut disertakan pelbagai program keagamaan di masjid, gereja dan kuil terpilih di sekitar Melaka Tengah dan penyediaan 25 trak makanan sebelum acara kemuncak 3 Ogos.

“Kemuncaknya adalah pada 3 Ogos iaitu Sabtu, seawal 6 pagi akan diadakan Larian Merdeka berkonsep ‘fun run’ lima kilometer dan senamrobik, sebelum pada malamnya Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 dan diikuti dengan pelepasan KMJG19.

“Kira-kira 49 kenderaan terlibat dengan KMJG19 membabitkan penyertaan anggota Jabatan Penerangan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia dan Kelab Motosikal berkuasa tinggi,” katanya.

Menurut beliau pertunjukan bunga api dijangka berlangsung sejurus selepas pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’.

“Kita berharap agar semua pihak swasta dan jabatan kerajaan dapat tunjukkan kepada masyarakat bahawa Melaka telah bersedia menjadi tuan rumah sambutan ini dan kepada orang ramai dari dalam atau luar negeri, datanglah beramai-ramai ke malam pelancaran ini, kita ‘kasi gegau’ Melaka,” katanya.

BERNAMA