Pejuang tiada masalah bentuk gagasan rasmi bersama pembangkang

Pejuang tiada masalah bentuk gagasan rasmi bersama pembangkang

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagai calon bebas, kata presiden penajanya, Mukhriz Mahathir.

Sebaliknya kata bekas menteri besar Kedah itu, Pejuang mempunyai beberapa pilihan dan sedang membuat pertimbangan bagi mencari langkah terbaik.

Antara pilihan yang ada kata Mukhriz ialah bertanding menggunakan tiket parti pembangkang lain atau membentuk gagasan rasmi menjelang PRU ke-15 nanti.

“Sekiranya parti tidak (didaftarkan), ada kemungkinan (Pejuang) akan menggunakan tiket parti lain, malah kita memang terbuka untuk pastikan Pejuang bertanding dalam PRU ke-15 nanti dengan satu gagasan yang rasmi.

“Kami tidak akan bertanding sebagai calon bebas. Jadi sebaik-baiknya (Pejuang) mestilah sebahagian daripada parti politik.

“Ada beberapa pilihan, kita akan pertimbangkan perkara tersebut,” katanya seperti dipetik Sinar Online.

Mukhriz merupakan bekas timbalan presiden Bersatu yang memilih untuk berpisah daripada parti yang diasaskannya bersama beberapa tokoh lain itu selepas kumpulan penyokong Muhyiddin Yassin membawa Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Dia bersama beberapa pemimpin lain – termasuk Dr Mahathir Mohamad yang pernah dilantik sebagai pengerusi Bersatu – kemudian menubuhkan Pejuang.

Bagaimanapun sehingga kini pendaftaran Pejuang belum diluluskan oleh kerajaan.

Pada 29 Okt lalu Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah berkata sebanyak tujuh permohonan pendaftaran dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) namun pihaknya belum mendapat jawapan bertulis mengenai status mereka.

Untuk rekod ROS terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang kini diketuai Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Justeru, Pejuang membuat permohonan semakan kehakiman untuk memaksa ROS membuat keputusan berhubung status pendaftaran parti terbabit pada 10 Dis lalu.

Menurut Mukhriz Pejuang sedar mereka tidak boleh memasang impian terlalu tinggi.

“Kita kena muhasabah diri, kena ukur baju di badan sendiri… kita pasang cita-cita terlampau tinggi padahal kita tidak berkemampuan, nak berjuang seorang memang sukar tetapi keputusan atau pendekatan itu akan dilaksanakan sebelum PRU ke-15 nanti,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/556380