Pejuang tiada masalah bantu PN stabilkan negara – Marzuki

Pejuang tiada masalah bantu PN stabilkan negara – Marzuki

Jika Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ditakdirkan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), kata timbalan presiden penajanya, ia hanya dibuat demi kepentingan negara.

Menurut Marzuki Yahya sejak dari awal pendirian parti itu adalah mudah, iaitu mereka tidak akan sekali-kali menerima atau bekerjasama dengan ahli politik dari “kluster mahkamah” terutama pihak yang dianggap kleptokrat dan sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Kedua, katanya, Pejuang berpendapat PN bukan kerajaan yang sah dan dipilih rakyat sebaliknya kerajaan pintu belakang.

“Untuk kestabilan negara, kami tak ada masalah nak membantu, tapi saya difahamkan apa yang dimaksudkan Tun (Dr Mahathir Mohamad), Pejuang tidak ada masalah bekerjasama dengan sesiapa sebab Pejuang kini tidak ada dalam PH (Pakatan Harapan) dan tidak juga dalam PN.

“Namun dengan apa yang berlaku sekarang seperti salah laku, silap tadbir dan haru-biru ni, saya tak fikir Pejuang boleh sokong Muhyiddin (Yassin) sebagai perdana menteri,” katanya kepada Malaysiakini.

Senator yang sebelum ini pernah dilantik menjadi setiausaha agung Bersatu itu diminta menjelaskan pendirian Pejuang dalam isu bekerjasama dengan kerajaan PN.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini Mahathir memberitahu ada cubaan agar dia menyertai PN tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana keberadaan “penjenayah” dalam kerajaan.

Ditanya jika pendiriannya terhadap ajakan itu berubah jika “penjenayah” terbabit tidak lagi bersama PN, bekas perdana menteri itu memberikan bayangan yang ia bukanlah mustahil.

Menurut Marzuki apa yang dimaksudkan Mahathir disalah tafsir oleh pihak lain dan Pejuang bukannya mahu menyertai PN dan mengabsahkannya.

“Kita (Pejuang) bukan nak menyokong PN untuk menambah jumlah nombor (yang menyokong Muhyiddin) tapi (cuma) untuk kestabilan negara kita sanggup bekerjasama

“Persepsi orang ingat Tun kata macam tu untuk Pejuang bagi numbers kepada PN – tidak,” katanya.

Bekas timbalan menteri luar itu juga menegaskan tanpa pemimpin politik dari kluster mahkamah dalam kerajaan pun Pejuang tetap tidak mahu bekerjasama kerana PN enggan mengembalikan demokrasi dan kedaulatan undang-undang.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/570992