Pejuang terus berharap kerajaan baharu tubuh Majlis Pemulihan Negara

Pejuang

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengharapkan kerajaan baharu yang akan dibentuk dalam tempoh terdekat dapat mempertimbangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Menurut beliau, penubuhan MPN merupakan antara fokus utama Pejuang daripada berebut kuasa ketika parti-parti politik lain sedang berusaha mendapatkan sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Kita tak campur sangat urusan mereka itu, kita harap akan ada satu pihak berjaya mendapat jumlah meyakinkan untuk dipersembahkan Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Tuanku.

Pejuang terus berharap kerajaan baharu tubuh Majlis Pemulihan Negara

“Kami ikut sahaja, yang kami harapkan siapa juga menjadi Perdana Menteri, siapa juga bentuk kerajaan dapat mempertimbangkan untuk penubuhan Majlis Pemulihan Negara,” jelasnya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Mukhriz menegaskan, penubuhan MPN amat penting dalam memastikan kerja-kerja mitigasi COVID-19 dan pemulihan ekonomi dapat dijalankan.

“Majlis seperti itu dirasakan sangat diperlukan untuk memberi tumpuan kerja kerja mitigasi COVID-19 dan ekonomi dan ianya perlu dianggotai pakar dalam bidang relevan dan seperlunya dipengerusikan oleh Tun Mahathir sendiri.

“Jadi itu sebenarnya menjadi tumpuan kami, walaupun begitu kami tahu dalam Perlembagaan dimaktubkan bahawa pemilihan Perdana Menteri itu perlu diberi perhatian, yang penting kerana tidak boleh timbul keadaan kita tidak ada kerajaan

“Jadi dalam hal itu kami hanya empat orang Ahli Parlimen, jadi kita akan menyokong sesiapa sahaja boleh dapat majoriti tersebut,” ujar Mukhriz lagi.

Beliau merupakan antara ketua parti politik yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini untuk berbincang mengenai pelantikan Perdana Menteri kesembilan.

Sesi menghadap Agong oleh ketua-ketua parti bermula hari ini susulan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Isnin.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan daripada Al-Sultan Abdullah ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Isnin.

Tindakan itu diambil selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau yang juga Presiden Bersatu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 29 Februari 2020 ekoran krisis politik selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Susulan peletakan jawatan itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-baharu-diharap-pertimbang-tubuh-majlis-pemulihan-negara-mukhriz-314591

BACA JUGA : Panas !!! Pejuang tumpu beri sokongan kepada calon PH – Mukhriz

COMMENTS

Wordpress (0)