Pegawai Masjidil Haram dedah kebanyakan kiswah terpakai yang dijual rupanya bukan tulen!
Kaabah merupakan kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia, dan dalam sehari, mereka akan menunaikan solat lima waktu dengan menghadap ke arah Kaabah.
Setiap tahun, kelambu Kaabah atau ‘Kiswah’ (kain hitam yang menutup Kaabah) akan diganti pada 9 Zulhijah,
Dan ini membawa kepada kemunculan pasaran baru iaitu penjualan Kiswah terpakai, yang dikatakan mampu membawa nasib baik dan kemakmuran.
Harga Kiswah terpakai kadangkala boleh mencecah ribuan dolar dan akan meningkat secara mendadak sehingga berjuta-juta dolar jika ia disahkan tulen oleh para pegawai yang berkenaan.
Bagaimanapun, menurut Penolong Pengurus Besar Kompleks Raja Abdulaziz bagi Pembuatan Kiswah, Hisyam Sulaiman Ala’uddin, pihaknya tidak menjual Kiswah terpakai.
Beliau berkata selepas Kiswah ditanggalkan, ia akan disimpan oleh kerajaan Arab Saudi dengan dokumentasi yang betul dan ia mungkin dijual.
“Bagaimanapun, terdapat Kiswah yang telah dipamer sebelum diberikan kepada orang tertentu seperti keluarga Al-Shaiba pada suatu masa dahulu.
“Jika ia diberikan (kepada orang tertentu), ia dianggap bukan milik kami. Bagaimanapun, kebanyakan yang dijual di pasaran bukan produk tulen, jadi berhati-hatilah,” kata Encik Hisyam kepada Bernama ketika menjawab soalan jika Kiswah terpakai sememangnya ada dijual.
Menurut Encik Hisyam, kos menyiapkan sehelai Kiswah lengkap untuk Kaabah boleh mencecah antara 20 hingga 25 juta Riyal Arab Saudi, bergantung kepada nilai pasaran bagi benang sutera, perak dan emas.
Beliau berkata kompleks itu memerlukan masa antara lapan hingga 11 bulan untuk menyiapkan struktur keseluruhan Kiswah.
Encik Hisyam ditemui Bernama bersama 20 lagi rakyat Malaysia yang menjadi peserta program Haji sebagai tetamu Raja Arab Saudi 2019 ketika mereka melawat kompleks itu pada Khamis (8 Ogos).
Di kompleks itu, mereka diberi taklimat mengenai proses pembuatan Kiswah, mempelajari bahan yang digunakan serta sejarahnya.
Mereka turut berkunjung ke Pameran Seni Bina Dua Masjid Suci yang menampilkan sejumlah manuskrip, artifak, model seni bina serta foto Dua Masjid Suci (Masjidilharam dan Masjid Nabawi) yang jarang didapati.
BACa: