PBT Selangor sertai Op Patuh, bantu tutup kilang atas arahan kerajaan pusat

Selangor

PBT Selangor sertai Op Patuh, bantu tutup kilang atas arahan kerajaan pusat.Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT)
berperanan hanya membantu agensi kerajaan Persekutuan untuk membatalkan dan menutup operasi premis perniagaan termasuk kilang.

Menurutnya, PBT tidak mempunyai bidang kuasa sama ada untuk membatalkan, menamatkan atau menarik lesen atau kebenaran secara sewenang-wenangnya terhadap mana-mana kilang di negeri itu.

“Segala tindakan kerajaan negeri dan PBT harus dijalankan secara telus dan bertanggungjawab mengikut undang-undang.

“Sehingga kini, PBT telah menganggotai Op Patuh yang diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) memeriksa dan menutup kilang yang melanggar SOP atau menyebabkan kluster-kluster baharu Covid-19,” katanya dalam sedutan rakaman video yang tular di media sosial.

PBT

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor itu berkata, sepanjang 25 Jun hingga 12 Julai lalu, sebanyak 2,266 pemeriksaan telah dilakukan dalam Op Patuh di Selangor.

Daripada jumlah itu, jelasnya, terdapat 65 premis telah dikompaun manakala 27 premis lagi termasuk kilang diarah untuk menghentikan operasi.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu memberitahu sejumlah 129 premis perniagaan ditutup atas sebab melanggar SOP sejak 11 Mac hingga 12 Julai lalu.

Sebelum ini, kata Amirudin, beliau telah mencadangkan kepada kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar kerajaan negeri Selangor diberi sedikit kuasa untuk terlibat sama dalam pengoperasian pemeriksaan dan menutup operasi kilang yang melanggar SOP atau menyebabkan kluster Covid-19.

“Oleh itu, pada 3 Mac lalu, Menteri Kesihatan dan Menteri Undang-Undang telah meminda Seksyen 2 (10) Ordinan Darurat iaitu Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan memperluas pegawai yang terlibat merangkumi badan berkanun dan PBT agar dapat turut sama menjalankan penguatkuasaan tatacara piawai (SOP),” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pindaan tersebut bukan bermaksud PBT mempunyai kuasa untuk menutup kilang.

“Kuasa tersebut masih di bawah kerajaan Persekutuan. Peranan PBT adalah terhad sebagai membantu penguatkuasaan SOP atas arahan kerajaan Persekutuan, dalam maksud mengenakan kompaun tertentu terhadap kesalahan melanggar SOP,” jelasnya lagi.

Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/pbt-di-selangor-hanya-bantu-agensi-kerajaan-pusat-tutup-operasi-kilang/

Jika Terlepas: Pemuda PN gesa Selangor contohi kerajaan Pusat