Patriot tegur ahli parlimen kecoh macam di pasar

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) meluahkan rasa mual dengan sikap dan kelakuan tidak sopan segelintir anggota Parlimen ketika hari pertama sidang Dewan Rakyat kali ini, pada Isnin lalu.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata lebih malang lagi kelakuan itu dipertontonkan secara langsung di televisyen.

“Ini adalah anggota Parlimen sama yang menimbulkan kekecohan pada setiap kali sidang Parlimen.

“Rakyat Malaysia malu dengan telatah yang ditunjukkan mereka yang telah mencemari dewan yang mulia umpama pasar basah, dengan teriakan dan penggunaan bahasa kasar menjadi kebiasaan.

“Bagaimana mereka dipanggil sebagai yang berhormat sedangkan tingkah laku mereka tidak menunjukkan seseorang yang berpelajaran dan berilmu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara kekecohan yang timbul pada hari tersebut adalah apabila pelantikan speaker baru, Azhar Azizan Harun dibantah anggota Parlimen pembangkang, antaranya atas dasar ia tidak melibatkan proses undian.

Selepas Azhar mengangkat sumpah, kekecohan dan jerit menjerit berterusan di antara kedua-dua belah pihak sehinggalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan bangun mengusulkan persidangan ditangguhkan lebih awal.

Selain itu, kenyataan “gelap, tak nampak” dan “pakai bedak” yang diutarakan Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abd Rahim ketika mencelah perbahasan Anggota Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto turut mengundang bantahan anggota Parlimen lain.

Keesokannya, Azhar mengarahkan Azeez untuk memohon maaf atas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Arshad berkata lebih memualkan lagi apabila segelintir anggota Parlimen yang menurutnya mengeluarkan kata-kata dengan nada ejekan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Yang lebih memualkan ialah melihat mereka mengejek seorang ahli parlimen pembangkang berusia 95 tahun yang pernah menjadi perdana menteri negara selama 22 tahun, dan telah membawa pencapaian luar biasa kepada negara,” katanya lagi.

Oleh itu katanya, Patriot menggesa ahli Parlimen yang sering berkelakuan sedemikan supaya mencontohi wakil rakyat Singapura yang menghormati Dewan Rakyat.

“Sudah tiba masanya pengundi, terutama yang mengundi untuk kali pertama mempertimbangkan kebaikan dan keburukan setiap calon,” katanya lagi.

Berita penuh :

https://www.malaysiakini.com/news/534807