Pas yakin penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional bentuk ‘melayu raya’

Pas menyatakan sokongan penuh dengan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan oleh UMNO dan Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yakin penyertaan Bersatu akan memantapkan lagi gabungan yang yang digagaskan atas dasar muafakat dalam hal-hal membabitkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu, Bumiputera dan kepentingan nasional secara umumnya.

“Pas yakin gandingan UMNO, Pas dan Bersatu bukan sahaja akan mewujudkan suatu gagasan besar ‘Melayu Raya’ sebaliknya juga memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu menambah, kerjasama yang digagaskan atas asas muafakat, persefahaman serta perpaduan itu pasti akan mewujudkan iklim yang harmoni, kondusif dan berwibawa ke arah membangunkan seluruh sektor masyarakat dan wilayah demi kepentingan negara dan seluruh rakyatnya.

“Pas yakin gabungan bersepadu kepimpinan MN yang akan diterajui oleh Presiden UMNO, Pas dan Bersatu merupakan gandingan terbaik untuk menerajui kerajaan Perikatan Nasional,” jelasnya lagi.

Berita penuh : http://www.astroawani.com/berita-politik/gabungan-pas-umno-bersatu-wujudkan-gagasan-melayu-raya-pas-255453