Pas mesti tunai janji selesai masalah kos sara hidup yang makin meningkat

Pas mesti tunai janji selesai masalah kos sara hidup yang makin meningkat

Rungutan orang ramai tentang kenaikan harga barang terutama barang mentah dan segar seperti ayam, telur dan sayur di waktu Ramadhan ini dan dijangka meningkat lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah sahih.

Keadaan ini turut diakui kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepertimana kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Che Abdullah Mat Nawi pada 17 April lalu.

Kenaikan harga barang sudah pasti meningkatkan kos sara hidup rakyat dan ia berlaku akibat inflasi adalah amat membimbangkan. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan PN menguruskan ekonomi negara dengan baik.

Inflasi jika tidak dikawal akan menyebabkan krisis ekonomi rakyat semakin kronik, apatah lagi kadar pengangguran yang meningkat kepada 782,500 orang pada kadar 4.9 peratus pada Januari 2021. Jika indiviu yang bekerja sekalipun, gaji yang diterima tidak cukup menangani kos sara hidup sepertimana gaji graduan hanya sekitar RM1,001 hingga RM1,500. Setakat hari ini, tiada apa-apa perancangan strategik kerajaan PN menangani masalah kos sara hidup rakyat. Infliasi pula dijangka meningkat kepada 5 peratus dan keadaan ini menunjukkan PN tiada kehendak politik (political will) untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Tidak seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai kehendak politik menyelesaikan isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP). Langkah ini berjaya mengawal inflasi sehingga hanya 0.7 peratus bagi tahun 2019 dan ekonomi pula berkembang sebanyak 4.3 peratus bagi tahun yang sama. Komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan PH ini adalah kerana tadbir urus negara sepanjang 22 bulan tersebut dipandu oleh manifesto PH berbanding PN yang tiada manifesto. Justeru, dakwaan bahawa PH tidak menunaikan janji kini terbukti meleset.

Kini, rakyat tertanya-tanya bilakah PAS mahu menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup seperti mana kenyataan Presiden PAS pada 9 Mac 2018. Walaupun PAS kalah dalam PRU ke-14 yang lalu, namun tindakan mereka yang bersekongkol membentuk kerajaan tebuk atap menuntut PAS menunaikan janji pilihanraya ini. Baldatun thayyibatun dalam firman Allah dalam Surah Saba’ ayat 15, menuntut sesebuah kerajaan menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya mementingkan perebutan kuasa. Kegagalan PAS untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup ini memprejudiskan perjuangan Islam yang dibawa PAS yang dilihat lebih berminat kepada kepentingan kuasa.

Sumber: