Pas mahu pemimpin Umno, Bersatu rasai kemanisan gabungan PN, MN

Pas mahu pemimpin Umno, Bersatu rasai kemanisan gabungan PN, MN

Pemimpin Umno, Bersatu dan PAS boleh merasai kemanisan politik dengan menyertai gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan peristiwa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak berulang ekoran kuasa politik Islam dan Melayu dicabar.

“Walaupun pernah buat maksiat, kesalahan dan sebagainya tetapi kemanisan iman masih ada dalam dirinya untuk melakukan perubahan, kita sedar orang PAS bukan seperti malaikat, kita ada dosa juga, besar dan kecil.

“Kita ajak mereka yang sayang kepada Islam, ada orang Islam hanya pada nama tetapi menolak Islam, kita tolak liberal, kita juga ajak orang bukan Islam yang berada di bawah kepimpinan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada ceramah Badar al Kubra yang disiarkan secara dalam talian sempena 17 Ramadan malam tadi.

Ia dianjurkan Badan Perhubungan PAS Kelantan. Turut menyampaikan ucapan Pesuruhjaya PAS Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Ketua Penerangan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata PAS terus utuh di persada politik tanah air walaupun pernah dicantas, diganggu dan dipecahkan oleh pembangkang, namun perjuangan membawa syiar Islam terus mendapat perhatian di Malaysia.

Beliau mengumpamakan PAS sebagai sebuah pokok yang semakin membesar dan subur dengan akar tunjang yang kukuh untuk hadapi cabaran.

“PAS terus meneruskan perjuangannya walaupun dicantas satu dahan, tetapi tumbuh 10 ranting kecil yang menjadi dahan yang kukuh.

“Inilah kehebatan perjuangan Islam yang dibawa dan dirasai dalam PAS yang kita dokong hari ini.

“Semakin hari semakin subur kerana tunjang kita kuat. Kita dapat rasai kemenangan sedikit di Kelantan, Kedah dan Terengganu, ini adalah kurniaan Allah yang perlu disyukuri dan tidak alpa dengan kemenangan,” katanya.

Berita Penuh :https://harakahdaily.net/index.php/2021/04/30/pas-ajak-umno-bersatu-rasai-manis-gabungan-pn-mn/

COMMENTS