PAS hanya mengambil manfaat daripada politik lompat-melompat – Hadi

PAS hanya mengambil manfaat daripada politik lompat-melompat – Hadi

Jangan hukum PAS jika ada pihak yang keluar PAS atau melompat masuk menyertai parti itu, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Katanya, PAS hanya mengambil manfaat daripada politik lompat parti yang berlaku.

“Maka, janganlah menghukum PAS apabila ada golongan yang melompat keluar meninggalkan PAS atau menyertai PAS, sehingga terdapat mereka yang beberapa kali melompat keluar dan masuk PAS semula.

“Hukumlah diri sendiri, PAS hanya mengambil manfaat daripada politik lompat-melompat.

“Hanya mereka yang melompat dengan niat yang tidak ikhlas bersama PAS sahaja akan patah kakinya. Namun, ahli PAS yang setia tetap tidak akan patah semangat,” katanya dalam catatatan Minda Presiden di Facebooknya hari ini.

Menurut Abdul Hadi, sejak penubuhannya, PAS memang “paling berpengalaman” menghadapi perangai melompat parti.

PAS katanya, sentiasa membuka pintu dan menerima semua pihak yang mahu masuk dan keluar daripadanya, bahkan menjadi tempat persingahan sementara buat pemimpin parti yang dipecat daripada parti masing-masing.

Ini katanya, termasuklah Dr Mahathir Mohamad (1969), Tengku Razaleigh Hamzah (1990) serta Anwar Ibrahim (1998) – ketiga-tiganya daripada Umno.

PAS juga, tambah Abdul Hadi, pernah bekerjasama dengan pelbagai pihak, antaranya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diterajui presidennya sendiri Burhanuddin al-Helmi; Parti Negara pimpinan Onn Jaafar; Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh.

Ada antara parti itu kini terkubur setelah ahlinya melompat keluar daripada parti, dan hal itu, kata Abdul Hadi, bukan salah PAS.

PAS juga bekerjasama dengan parti seperti PKR dan DAP, yang kemudiannya bekerjasama dengan parti serpihan PAS sendiri, Amanah bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

“Sekarang mereka sudah bercakaran antara satu sama lain berebut ahli sesama mereka, dan sekali lagi itu juga bukan salah PAS,” katanya.

Keluar PAS kerana ‘gagal tarbiah’

Bagi mereka yang pernah melompat keluar daripada PAS, kata Abdul Hadi, mereka itu adalah golongan yang gagal proses tarbiahnya.

Namun, dia menyifatkan keluarnya mereka daripada parti sebagai “menyembuhkan penyakit” dalam jemaah PAS, iaitu sikap tidak sabar dan menginginkan kemenangan secara gopoh.

“Maka, PAS tidak menjadikan lompat parti sebagai suatu perkara yang boleh menghalang perjalanannya. Hal yang demikian kerana, mereka yang melompat keluar itu gagal berintegriti, manakala pendatang baharu pula dapat menyesuaikan diri bersama PAS.

“Namun, mereka yang gagal proses tarbiahnya selepas itu, biarkan dirinya melompat keluar lagi sehingga patah kaki.

“PAS akan tetap selamat, selagi Islam menjadi jasad dan rohnya,” katanya lagi.

Selepas PRU-14, parti-parti politik menyaksikan berlakunya adegan lompat parti bagi membentuk penjajaran politik baru untuk menguasai pentadbiran kerajaan, termasuk Langkah Sheraton tahun lalu.

Setakat ini, 15 ahli parlimen dari Umno dan 10 dari PKR yang lompat parti untuk menyertai Bersatu. Juga terdapat empat bekas ahli parlimen PKR yang kini menyokong Perikatan Nasional (PN), dan mungkin akan menyertai Bersatu.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/566922