Pas gesa Umno, Bersatu lupakan sengketa lama

Umno perlu akur parti itu bukan watak dominan dalam arena politik tanah air, malah memerlukan sokongan daripada Bersatu dan PAS untuk menawan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata seorang veteran PAS.

Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat, Mahfodz Mohamed berkata, ketiga-tiga parti ini harus bersatu untuk mengukuhkan kuasa Melayu Islam, dan jika gagal, tidak mustahil Pakatan Harapan (PH) akan kembali berkuasa.

“Selepas PRU14, Umno tak boleh kata dia nak banyak kerusi sebab dia boleh menang, itu tak boleh. Jadi saya minta tiga parti ini berlapang dada, dan bertolak ansur.

Pas gesa Umno, Bersatu lupakan sengketa lama

Seorang veteran PAS berkata parti itu tidak akan sesekali mengalah untuk menyatukan Umno dan Bersatu dalam perjuangan MN.

“Jangan utamakan kepentingan politik dan peribadi masing-masing, kerana jika kita tidak bersatu, Umno-PAS-Bersatu akan rugi dan takkan menang (PRU15), yang untung adalah musuh politik kita… kalau kita tak bersatu maka berlaku seperti PRU14,” katanya kepada FMT.

PRU14 yang disifatkan sebagai “ibu kepada semua pilihan raya” menyaksikan PH yang terdiri daripada empat parti pembangkang iaitu DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, Bersatu bertindak keluar gabungan itu selepas “Langkah Sheraton” berjaya membawa kepada penubuhan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin pada awal Mac tahun lalu, dan menyaksikan beberapa pemimpin Umno bertindak lompat parti dan menyertai Bersatu.

Mahfodz berkata, bagi meneruskan jangka hayat politik Melayu Islam, Umno dan Bersatu perlu melupakan sengketa antara mereka dan menumpukan kepada usaha memperkasa Muafakat Nasional bersama PAS.

“Bersatu dan Umno kena lupakan sejarah lama, sekarang bukan masa untuk kita mendabik dada saya kuat, awak tak kuat, sebab kita sama-sama tak kuat … mmg kita tak boleh macam dulu ada parti yang dominan, jadi sekarang kita kena bantulah.

“Tiada jalan lain, kalau Melayu Islam nak kekal berkuasa, kira wajib tiga-tiga parti duduk bincang dari sekarang untuk agihan kerusi pasal saya cakap dah dengan Umno. Dulu (sebelum PRU14) bolehlah Umno kuat dan berkuasa tetapi sejak PRU14, realitinya tiada satu parti pun yang boleh memerintah dengan sendiri,” katanya.

Bertegas untuk menjadi jambatan pendamai di antara parti politik Melayu Islam di negara ini, beliau berkata, PAS tidak akan sesekali mengalah untuk menyatukan Umno dan Bersatu dalam perjuangan MN.

“Matlamat kita supaya dua parti Melayu ini bersatu dan bergabung. Selama ini pun, walaupun PAS kecil tetapi kita jadi pendamai antara Umno dan Bersatu.

“PAS pada saya nak sendirian pun boleh tapi tak akan dapat jadi kerajaanlah… kalau kita tak buat penyatuan ketiga-ketiga parti ini atas dasar perpaduan ummah, maka tidak akan ada yang menang antara ketiga-ketiga parti itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MN juga perlu membuka keahliannya kepada parti Melayu yang tidak ekstrem antaranya Warisan dan Amanah untuk mewujudkan khemah politik yang lebih besar.

“Kalau dia (Amanah) boleh jauhkan diri dari DAP, boleh sama-sama (dalam MN). Macam kita la, PAS marah pada Amanah, Umno marah pada Bersatu tetapi kalau mereka boleh mengasingkan diri daripada DAP, InsyaAllah kita boleh terima. Janji ‘no Anwar, no DAP’,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/08/lupakan-sengketa-lama-perkukuh-mn-veteran-pas-gesa-umno-bersatu/

BACA JUGA : Panas !!! Pengarah Imigresen dedah kenapa Malaysia jadi pilihan pelacur warga asing