Pas dakwa boleh elak pertembungan kerusi dengan Umno dan Bersatu

Pas dakwa boleh elak pertembungan kerusi dengan Umno dan Bersatu

Pertembungan antara Umno, PAS dan PPBM di negeri Pahang dalam pilihan raya umum (PRU) boleh dielakkan memandangkan majoriti pimpinan parti terbabit mempunyai kesedaran tinggi mengenai kepentingan perpaduan.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar menyuarakan keyakinan itu berdasarkan hubungan semasa antara parti Islam itu dengan Umno dan PPBM di peringkat negeri.

“Buat masa ini PAS mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-dua parti, terutama Umno, yang menjadi teras bersama PAS dalam merealisasikan penyatuan umat.

“Hubungan baik PAS dan Umno masih kekal sehingga kini. Pimpinan Umno dan PAS Pahang sentiasa berhubung dan berbincang.

“Walaupun ia agak berbeza dengan PPBM yang masih baharu di Pahang, namun setakat ini hubungan kami baik.

“Saya yakin perbincangan yang berjalan kini akan menghasilkan natijah yang baik kepada semua parti.

“Kalau pun berlaku pertembungan, ia adalah pertembungan harmoni yang akan mencapai aspirasi gagasan politik yang menguntungkan agama, bangsa dan negara. Hasrat saya tidak berlakunya pertembungan,” katanya kepada FMT.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada perbincangan rasmi antara Umno, PAS dan PPBM di Pahang berhubung isu pembahagian kerusi.

“Pertemuan secara tidak tidak rasmi ada, cuma perbincangan rasmi kami masih menunggu arahan daripada pucuk pimpinan parti untuk tujuan itu.

“Saya kira pemimpin Umno, PAS dan PPBM matang berpolitik dan pastinya mereka akan membuat keputusan yang menguntungkan dan mendatangkan kebaikan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah kerusi yang disasarkan oleh PAS Pahang, Rosli berkata, perkara itu akan diputuskan pimpinan pusat setelah berbincang dengan parti lain dalam gabungan.

”PAS Pahang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya. Semua peringkat organisasi parti diarahkan bersedia. Kita sangat bersedia untuk hadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya.

Hubungan Umno dan PPBM dilaporkan goyah menentu apabila majoriti bahagian Umno menolak untuk bekerjasama dengan parti pimpinan Perdana Menteri Muhyidtin Yassin dalam pilihan raya akan datang sebaliknya hanya mahu bekerjasama dengan PAS.

Bagaimanapun pendiriaan itu berbeza di Terengganu, dengan Umno negeri itu berkata, ia tidak akan memberi peluang kepada PPBM mahupun PAS, sebaliknya akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/27/hubungan-kami-baik-pas-pahang-yakin-pertembungan-kerusi-umno-ppbm-boleh-dielak/