Pas boleh jadi orang tengah selesai kemelut Umno-Bersatu, kata Ketua Dewan Ulama

Pas boleh jadi orang tengah selesai kemelut Umno-Bersatu, kata Ketua Dewan Ulama

PAS bersedia untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertelingkahan antara Umno dan Bersatu demi kelangsungan pemerintahan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata pihaknya boleh mengatur perjumpaan bagi mencari titik pertemuan yang boleh menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh kedua-dua pihak terbabit.

“Tanpa mencari penyelesaian ke arah penyatuan itu kita bimbang akan menjejaskan kedudukan orang Melayu Islam di negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Pasir Puteh hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kebimbangan banyak pihak tentang kedudukan kuasa orang Melayu di negara ini akan terjejas pada PRU15 berikutan kemelut yang timbul dalam kalangan parti-parti Melayu yang seakan tiada penghujungnya.

Nik Muhammad Zawawi berkata perselisihan antara Umno dan Bersatu dapat diselesaikan jika kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan tanpa berasaskan kepentingan parti dan kepentingan diri.

“PAS akan terus berusaha untuk menyatupadukan umat Islam kerana ia menjadi agenda kedua agama Islam,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/571643