Parlimen medan sebenar suara rakyat, kata pemimpin Umno

Parlimen medan sebenar suara rakyat, kata pemimpin Umno

Semua wakil rakyat perlu menggunakan peluang membuktikan dan mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berpandangan bahawa institusi itu boleh bersidang semasa tempoh proklamasi darurat dilaksanakan.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin turut mengingatkan semua wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik perlu mengetepikan perbezaan ideologi dan perebutan kuasa bila Parlimen bersidang serta menggunakan ruang itu untuk menonjolkan kepemimpinan terbaik kepada rakyat dan negara.

“Ini adalah peluang terbaik untuk semua Ahli Parlimen membukti dan mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat.

“Ketepikan sebentar pergeseran ideologi politik dan perebutan kuasa. Sebaliknya, manfaatkanlah ruang ini untuk memberikan kepemimpinan terbaik kepada masyarakat dan negara.

“Semoga amalan demokrasi berparlimen negara ini akan terus matang dan kita semua akan mendapat manfaat yang selayaknya,” katanya dalam kenyataan sambil menyuarakan keyakinan titah Agong juga akan disambut baik semua pihak.

Katanya,semua Ahli Parlimen, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang perlu mengambil ruang dan peluang ini kembali bersidang dengan serius menyelesaikan kemelut kesihatan dan ekonomi.

“Bahaskanlah secara serius serta objektif akan jalan keluar dari segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ini,” katanya.

Agong berpandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh proklamasi darurat dilaksanakan, pada suatu tarikh difikirkan sesuai olehnya atas nasihat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, keputusan Agong itu dibuat selepas menerima menghadap Speaker Dewan Negara Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/24/bersidang-ketika-darurat-peluang-buktikan-parlimen-medan-sebenar-suara-rakyat-kata-pemimpin-umno/