Parlimen bersidang : Saranan Raja Melayu ikut perlembagaan

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjelaskan, Majlis Raja-Raja Melayu bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan Parlimen kembali bersidang.

Seruan pembukaan semula Parlimen itu dibuat dengan mengikut garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen Malaysia.

Ia bagi membolehkan proses semak imbang terhadap tadbir urus kerajaan dilakukan dengan telus dan berintegriti.

Menerusi kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin, Seri Paduka meminta Dewan Rakyat dan Dewan Negara kembali bersidang bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan sama, Seri Paduka juga menitahkan supaya semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 meneruskan sesi mesyuarat.

“Ini membolehkan membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuaratnya bagi melaksanakan mekanisme semak dan imbang untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Seri Paduka menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin,” katanya.

Kenytaan Istana Negara itu dikeluarkan selepas Seri Paduka menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Hari di Istana Negara, hari ini.

Turut hadir dalam sesi pertemuan pada pukul 11 pagi itu, adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/raja-raja-melayu-bertindak-berlandaskan-perlembagaan-agong/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=raja-raja-melayu-bertindak-berlandaskan-perlembagaan-agong

BACA JUGA : PKP sudah jadi satu beban berat buat rakyat