Panggilan Hisham “abang besar” pada China buat negara rasa terhina, kata Anwar

Panggilan Hisham “abang besar” pada China buat negara rasa terhina, kata Anwar

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein yang menggelar China “abang besar” kepada Malaysia sebagai satu penghinaan terhadap pendirian tidak berpihak negara ini.

Anwar berkata, meskipun China negara sahabat dan segala usaha perlu dibuat bagi meningkatkan kerjasama perdagangan serta pelaburan dengannya, bahasa sebegitu tidak sepatutnya digunakan dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa.

“Ini bukan bahasa dan gaya yang sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa kerana ia seolah meletakkan taraf Malaysia kepada hanya sebagai boneka asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishamuddin yang selesai melakukan lawatan dua hari ke China, menggelarkan China sebagai “abang besar” kepada Malaysia dalam satu sidang media bersama rakan sejawatnya Wang Yi.

Wan Yi membalas kenyataan itu dengan berkata “Kita adik-beradik (We are brothers)”. Pertukaran itu dilaporkan oleh media nasional China.

Anwar berkata tindakan Hishamuddin itu bertentangan daripada pendirian diplomasi antarabangsa yang diamalkan Malaysia sejak berdekad lamanya.

“Sebagai negara yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia, kenyataan beliau itu jelas suatu bentuk penghinaan terhadap negara kita sendiri.

“Menteri Luar harus segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia lantas menarik balik kenyataan hambar tersebut,” katanya lagi.

Meskipun hubungan Malaysia dan China semakin erat, beberapa isu penting masih menjadi perselisihan dua negara.

Antaranya, pencerobohan berkali-kali oleh China ke dalam perairan Sarawak yang diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa.

China bagaimanapun tidak mengiktiraf Zon Ekonomi Eksklusif yang mentakrifkan sempadan maritim antarabangsa dan mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah miliknya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/569299

COMMENTS