Umno Bukit Gantang melarang semua ahli bahagian itu mengadakan sebarang bentuk kerjasama politik dengan PPBM, walaupun parti itu ketika ini sebahagian daripada kerajaan negeri.
PPBM disenaraikan dalam larangan di samping Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad, PKR, dan DAP, menurut surat yang dikeluarkan Setiausaha Umno Bahagian, Mohd Saidin Yusof, hari ini.
Amanah tidak tersenarai dalam larangan itu.
Perkara itu difahamkan diputuskan menerusi perbincangan EXCO Biro Politik Umno Bukit Gantang, susulan pelawaan daripada bekas ketua Umno bahagian itu, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang kini ahli PPBM, untuk bertemu ketua-ketua Wanita Umno cawangan.
Syed Abu Hussin juga adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Pertemuan yang dijadualkan pada esok itu dikatakan di luar pengetahuan Umno bahagian.
Setiausaha Umno Bukit Gantang, Mohd Saadin Yusof, ketika dihubungi berkata surat itu formaliti bagi menunjukkan ketegasan dan pendirian Umno bahagian itu.
Katanya, ramai ahli akar umbi belum jelas kedudukan bentuk kerjasama antara Umno dan PPBM di peringkat bahagian.
“Sewajarnya pendekatan seperti ini dibuat awal dahulu supaya ahli-ahli kita tidak tertanya-tanya,” katanya.
“Buat masa ini, ketetapan yang kita buat adalah melarang sebarang bentuk kerjasama kecualilah jika ianya diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno.”
Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/11/umno-bukit-gantang-larang-ahli-kerjasama-dengan-ppbm/