Panas !!! MP Umno mungkin sertai Bersatu jika dipecat

UMNO

MP Umno mungkin sertai Bersatu jika dipecat. Tindakan 31 ahli Parlimen daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan dan kekal dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh menyebabkan berlakunya perpecahan kepada parti tersebut.

Penganalisis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, perpecahan itu akan berlaku dalam kalangan pimpinan tertinggi parti yang dijangka berterusan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, sekiranya ahli Parlimen UMNO tersebut dipecat daripada parti, mereka mempunyai pilihan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sudah tentu akan membuka pintu menerima kehadiran mereka.

“Namun begitu perpecahan tidak berlaku sekiranya salah satu pihak menunduk sama ada ahli Parlimen atau pucuk pimpinan parti.

“Persaingan di antara UMNO dan Bersatu akan menjadi pertarungan kesetiaan terhadap parti. Ia menguntungkan UMNO dan kelebihan penyandang jawatan kepada Bersatu.

 UMNO

“Persaingan itu memang tidak dapat dielakkan kerana UMNO, Bersatu, malah Pas bagaikan adik-beradik yang cuba memikat ‘kekasih lama’ iaitu pengundi nasionalis Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, Jumaat.

Beliau berkata, UMNO yang mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin perlu mengemukakan perbezaan dan pembaharuan dasar mereka daripada kerajaan sedia ada.

Menurutnya, sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan di luar Parlimen boleh dianggap sebagai menderhaka kerana melanggar titah Yang di-Pertuan Agong supaya masalah itu diselesaikan di Parlimen.

Katanya, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghantar surat akuan tambahan ahli Parlimen parti menarik sokongan kepada kerajaan PN juga dilihat bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, penganalisis politik dan media sosial daripada Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin dilihat sebagai tindakan terburu-buru.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kerugian kepada parti Melayu tersebut kerana tindakan yang tidak menunjukkan kesepakatan dan kebijaksanaan.

“Ketika ini, keselamatan dan kebajikan rakyat yang patut diutamakan kerana kita berada di pertengahan program imunisasi dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Rakyat bertungkus lumus mendapatkan vaksin. Jangan disebabkan politik, proses vaksinasi akan tergugat.

“Pergolakan politik tidak akan menyelesaikan masalah rakyat yang semakin tertekan akibat Covid-19. Saya rasa kerajaan PN sudah ambil kira input semua pihak dan banyak penambahbaikan dalam setiap pengumuman bantuan insentif,” ujarnya.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat, perpecahan atau konflik yang berlaku dalam UMNO itu bukan melibatkan secara keseluruhan akar umbi parti.

Jelasnya, tindakan memecat ahli Parlimen mungkin akan berlaku kiranya mereka tidak mengikut keputusan parti.

“Sebelum ini, Ahmad Zahid membuat permintaan untuk keluar menyokong keputusan parti, tapi tidak dilakukan. Jadi, kemungkinan besar tindakan akan diambil.

“Dalam konteks parti, apabila ada arahan tertinggi iaitu MKT untuk menyokong parti, kalau tidak diikut, biasanya akan disertai dengan tindakan disiplin seperti pecat atau gantung,” ujarnya.

Berita Penuh :https://premium.sinarharian.com.my/article/152861/mediasi-kritis/analisis/krisis-umno-dijangka-berterusan

BACA: Panas !!! Polis siasat kenyataan Muhyiddin

Artikel ini disiarkan pada 07/08/2021

COMMENTS