Panas !!! MP Umno diingatkan masa main dua kolam dah tamat – Nur Jazlan

MP Umno diingatkan masa main dua kolam dah tamat.  Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan dalam kabinet mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bahawa masa mereka untuk mereka menyatakan pendirian akhir sudah sampai.

Jelas beliau, sudah tiba saatnya untuk mereka memilih pihak mana satu untuk ditumpangkan taat setia, sama ada UMNO atau kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Menteri, timbalan dan pengerusi GLC daripada UMNO perlu pilih ‘kolam’ mana satu mereka nak ‘bermain’.

Sekarang ini masa untuk ‘main dua kolam’ sudah tamat.

“Mereka kena nyatakan pendirian untuk setia dan akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti atau terus kekal bersama kerajaan PN,” katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.

Ujar Nur Jazlan lagi, jika ahli-ahli Parlimen berkenaan mahu kekal memegang jawatan dalam kerajaan, maka mereka perlu tinggalkan UMNO dan masuk mana-mana parti lain.

Ini kerana kata beliau, UMNO hanya memerlukan ahli serta pemimpin yang setia menjunjung perjuangan dan tidak berbalah bahagi dalam isu antara parti atau jawatan.

“Jika mereka rasa kerajaan Muhyiddin kuat dan mahu terus jadi menteri, mereka kena sertai salah satu parti kerajaan.

Masuklah Bersatu atau Pas.

“Kalau mereka masih setia dan mahu berjuang atas nama UMNO untuk PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, maka mereka kena letak jawatan dalam kerajaan serta teguh berdiri bersama parti.

“Andai pucuk pimpinan UMNO mahu mereka tarik sokongan kepada kerajaan sedia ada, maka semua kena akur kerana tiada yang lebih penting daripada maruah diri serta parti,” jelasnya.

Jelas Nur Jazlan lagi, dalam situasi kerajaan PN yang tidak memperdulikan tiga kali titah Yang Dipertuan Agong untuk membuka sidang Parlimen dengan segera, secara tidak langsung kewujudan menteri serta timbalan menteri Umno dalam kerajaan turut mencalarkan nama parti.

Katanya, tindakan tanduk kerajaan PN yang membelakangkan institusi raja, menafikan sistem demokrasi dan kegagalan menangani isu Covid-19 sekarang ini telah membuatkan rakyat marah termasuk kepada wakil UMNO dalam kerajaan.

“UMNO tidak akan sesekali berkomplot dengan sesiapa sahaja yang tidak menghormati institusi raja, mempermainkan demokrasi dan menekan rakyat.

“Jadi kalau mereka mahu terus bersama kerajaan gagal itu, silakan.

Tapi mesti tinggal UMNO supaya nama parti tidak terus rosak kerana pendirian mereka.

“UMNO tiada masalah untuk letakkan orang lain di kerusi-kerusi Parlimen yang mereka tinggalkan itu sebab sebelum ini mereka menang pun atas nama parti bukannya individu,” katanya.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/148134/BERITA/Politik/Masa-main-dua-kolam-sudah-tamat

jika Anda terlepas: Wan Fayshal dakwa Muhyiddin beri restu tanding Bagan Serai

CATEGORIES