Majlis Raja-raja menjadi benteng terakhir untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MAGERAN) ilham Dr Mahathir Mohamad selepas pelbagai pihak menentang cadangan bekas perdana menteri itu, kata Ketua Bersatu Arau Ameir Hassan.
Beliau turut menggesa semua ahli Bersatu kembali memberi sokongan kepada Mahathir dan menyokong penuh penubuhan MAGERAN untuk mengembalikan kekuatan negara dalam memerangi Covid-19.
“Kepada ahli Bersatu, kembalilah ke pangkal jalan dengan beri sokongan padu kepada Dr Mahathir,” katanya.
Beliau berkata, institusi Raja-raja adalah ikhtiar terakhir rakyat untuk berjuang demi kelangsungan hidup dan mereka tidak boleh terus bergantung kepada kerajaan yang lemah untuk menang dalam “peperangan”.
Katanya, sebarang keputusan yang bersandarkan kepada pengaruh politik harus diketepikan dan keselamatan rakyat perlu menjadi agenda utama perjuangan.
“Majlis Raja-raja adalah kubu terakhir bagi rakyat yang sedang menangis dan menderita. Mereka masih sayang kepada Tuanku dan masih mengharap Tuanku akan melaksanakan semak dan imbang sebagai ikhtiar terakhir untuk menamatkan ‘kerajaan gagal’ dengan memperkenankan ‘Majlis Pemulihan Negara’,” kata Ameir dalam surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Raja-raja Melayu bersidang di Istana Negara hari ini dengan Sultan Abdullah dijangka berkongsi dengan Raja-raja lain maklum balas yang diterima dalam perjumpaannya bersama 18 pemimpin parti politik dan badan berkaitan sejak minggu lalu.
Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/16/kembali-ke-pangkal-jalan-sokong-dr-m-dan-mageran-ketua-bersatu-arau-gesa-ahli-parti/