Sultan perkenan sidang Dun

PM boleh disingkir di luar parlimen jika tak bersidang

Penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri boleh dilakukan di luar Parlimen jika tidak lagi mendapat sokongan majoriti wakil rakyat, menyorot krisis politik melibatkan Menteri Besar di Perak dan Kedah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh mengambil langkah itu berdasarkan peruntukan di dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan Fasal 2 (a) iaitu peruntukan sama digunakan ketika melantik perdana menteri awal tahun lalu.

Jelasnya, Seri Paduka boleh bertindak sama ada sepanjang tempoh darurat, selepas proklamasi itu tamat, Parlimen masih digantung atau dibuka semula.

“Selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu, ahli-ahli Parlimen pembangkang PH termasuk Warisan (Parti Warisan Sabah) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

“Namun, usul tersebut tidak pernah diberi kesempatan untuk dibentang kerana kerajaan menggunakan helah di bawah Peraturan 15 (1) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Peruntukan ini menyatakan pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain. Jadi, saya berpendapat, ia boleh dilakukan berdasarkan apa yang berlaku dalam krisis perlembagaan Menteri Besar Perak pada 2009 dan di Kedah tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 2009, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ketika itu menerajui kerajaan negeri Perak sebagai Menteri Besar (Pakatan Rakyat) hilang sokongan majoriti selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpaling tadah dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau bagaimanapun enggan meletakkan jawatannya dan meminta Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya membubarkan DUN namun baginda enggan berbuat demikian lalu menyerahkan kepada Mohammad Nizar menentukan keabsahannya.

Perkara itu dibawa ke Mahkamah Tinggi dan terbukti beliau sudah hilang sokongan yang menuntut kepada perlantikan Menteri Besar baharu iaitu Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Malah keputusan di Mahkamah Rayuan Putrajaya menyimpulkan undi tidak percaya boleh ditentukan dengan pelbagai cara dan tidak semestinya melalui DUN.

Sementara itu, di Kedah pada tahun lalu pula, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika itu menyandang jawatan Menteri Besar hilang sokongan wakil rakyat selepas PH tumbang dan ada dalam kalangan ADUN yang menyokong PN.

Bagi memastikan sama ada beliau hilang sokongan majoriti, proses undi tidak percaya dilakukan di Istana Kedah dan didapati beliau tidak lagi mendapat kepercayaan wakil rakyat dan bersetuju meletakkan jawatan.

Ini sekali gus menyebabkan berlaku kekosongan jawatan dan Sultan Kedah melantik Muhammad Sanusi Md. Nor dari Pas sebagai Menteri Besar yang baharu.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/boleh-usul-undi-tidak-percaya-pm-di-luar-parlimen/

CATEGORIES