Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II YB Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi sekali lagi menggesa agar Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang PSR di selatan Pulau Pinang dibatalkan dalam satu sidang media semalam (16 Jun) di Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Beliau membangkitkan nasib dan rezeki nelayan serta pemeliharaan alam semula jadi dan sumber perikanan sebagai justifikasi bagi gesaannya itu.
2. Tindakan ini tidak wajar dan tidak adil kerana pembatalan projek yang telah diberi kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) boleh mendatangkan kesan dan implikasi yang tidak baik. Sedangkan laporan EIA biasanya diluluskan berdasarkan fakta dan kajian saintifik yang diteliti dan disemak oleh pakar-pakar di jabatan kerajaan sendiri. Pembatalan kelulusan EIA tanpa sebab yang kukuh dan munasabah akan menjejaskan kredibiliti Jabatan Alam Sekitar sendiri. Tambahan pula, setakat ini Kerajaan Negeri masih sedang mematuhi syarat-syarat EIA yang telah diluluskan termasuk melaksanakan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang akan memanfaatkan nelayan, dan membuat rancangan serta persediaan untuk menjalankan program offset ekologi yang akan meminimakan kesan projek terhadap persekitaran tapak penambakan.
3. Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir di Pulau Pinang serta mantan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), saya memahami projek PSR bertujuan membawa pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan dana untuk pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. Saya juga sedar kesan kepada nelayan dan hasil perikanan. Namun, maslahat umum rakyat Pulau Pinang perlu diambilkira dan sebab itu banyak siri perbincangan diadakan di antara LKIM, Persatuan Nelayan dan Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian tuntas berkaitan kesan projek ini kepada nelayan. Saya juga sering menekankan kepentingan strategi jangka masa panjang dan pemodenan nelayan supaya kualiti kehidupan dan produktiviti meningkat dalam usaha membela nelayan keluar dari kepompong kemiskinan.
4. Saya juga percaya Kerajaan Negeri telah membuat perancangan dengan teliti untuk memastikan semua pihak termasuk nelayan akan mendapat manfaat daripada PSR. Saya difahamkan, bantuan kepada nelayan bukan sekadar saguhati wang tunai tetapi juga bot berserta enjin baharu, pembinaan 4 jeti baharu, peluang pekerjaan semasa penambakan serta beberapa lagi usaha termasuk terumbu buatan, peranti pengumpulan perikanan (FAD), pelepasan benih ikan dan lain-lain lagi. Sebelum ini, belum pernah ada pemilik projek penambakan yang melakukan program jangka masa panjang untuk manfaat nelayan, selain membayar pampasan.
5. Semua perkara ini telah diulangi Kerajaan Negeri tetapi pihak-pihak tertentu termasuk pemimpin PAS tidak pernah berminat untuk mengakuinya. Setiap kali mereka membangkitkan isu PSR, mereka bercakap seolah-olah Kerajaan Negeri hanya akan melakukan kerosakan dan tidak mempunyai rancangan mitigasi yang berkesan. Tiada apa-apa komen yang membangun, idea yang bernas atau cadangan alternatif yang boleh dipertimbangkan. Sebaiknya, pemimpin PAS termasuk Dato’ Che Abdullah mendapat penjelasan daripada Kerajaan Negeri terlebih dahulu.
6. Hakikatnya, nelayan masih boleh terus menangkap ikan semasa penambakan berjalan. Pun begitu, mengapa kita mahu menafikan mereka peluang untuk mendapat pekerjaan dan peluang perniagaan yang akan menambahkan pendapatan mereka menerusi pembangunan PSR? Mengapa kita tidak mahu memberi mereka peluang kehidupan yang lebih baik? Mengapa kita mahu menafikan peluang pendidikan seperti tuisyen percuma dan biasiswa yang bakal diberi kepada anak-anak mereka sebagai sebahagian daripada bantuan PSR?
7. Saya juga hairan dengan reaksi pemimpin PAS terhadap projek PSR ini seolah-olah hanya projek penambakan di Pulau Pinang yang akan menjadi “malapetaka”. Ironinya, negeri-negeri lain seperti Kedah yang diterajui PAS juga mempunyai projek penambakan. Tidak pula projek tersebut disifatkan sebagai satu malapetaka.
8. Nampaknya pemimpin PAS bersifat selektif dalam isu alam sekitar. Mereka juga tidak membangkitkan isu pembalakan di negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan yang telah membawa kesan kepada alam sekitar serta masyarakat Orang Asli. Di manakah suara pemimpin PAS? Sehingga kini, tiada polisi berkesan dicadangkan PAS bagi mengawal pembalakan yang semakin berleluasa di negeri pemerintahan PAS.
9. Di samping itu, ramai tertanya-tanya sama ada bantahan keras oleh pemimpin PAS terhadap projek PSR hanya bertujuan untuk menaikkan kemarahan orang Melayu, menarik sokongan pengundi Melayu dan membuat orang Melayu benci pada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kepentingan politik mereka sendiri. Saya membangkitkan persoalan ini kerana Dato’ Che Abdullah sendiri yang telah mempersoalkan tujuan sebenar pelaksanaan PSR yang kononnya akan menjejaskan penduduk setempat yang majoritinya berbangsa Melayu. Apakah niat Timbalan Menteri dari PAS apabila beliau menyebut “Melayu” di sini?
10. Sebelum ini, terdapat pemimpin PAS yang dipetik mendakwa PSR adalah projek geopolitik yang akan menghalau orang Melayu dari Pulau Pinang. Sedangkan, politik murah perkauman ini tidak harus dijadikan metrik politik nilai yang perlu diangkat dalam negeri dan negara majmuk ini. Adakah semua ini satu permainan politik bagi PAS dan sekutunya? Saya yakin kita semua tahu jawapannya. Saya juga yakin rakyat Pulau Pinang yang sudah memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal lebih mempercayai pemimpin Kerajaan Negeri.
11. Sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, tidak kira agama, bangsa dan ideologi politik, kita bertanggungjawab untuk berlaku adil dalam semua perkara. Kita tidak boleh memihak kepada satu kelompok dan mengabaikan pihak-pihak yang lain, khususnya yang majoriti. Dalam isu pelaksanaan PSR, penjanaan ekonomi dan pekerjaan untuk semua rakyat termasuk nelayan menjadi matlamat yang lebih mustahak bagi Kerajaan Negeri, bukan permainan politik dan agenda sempit untuk tujuan menjatuhkan parti lawan. Surah al-Maidah ayat 8, Allah berfirman yang bermaksud “Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, membuatmu berlaku tidak adil”.
FAIZ FADZIL
Sumber: