Isu doktor kontrak, Dr Dzulkefly buka mulut apa PH dah buat. Bekas Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad hari ini menggesa kerajaan supaya tidak melayan doktor kontrak yang menyertai mogok semalam seperti pakaian perlindungan diri (PPE) pakai buang dan segera memenuhi tuntutan mereka.
“Jangan jadikan mereka ketika wabak Covid-19 ini umpama PPE, dibuang selepas dipakai. Kita konsisten perjuangkan hak mereka, kita mahu tindakan menteri (menyelesaikan) isu ini,” katanya ketika sesi membahas ucapan Menteri Kesihatan pada hari kedua mesyuarat khas Dewan Rakyat.
Dzulkefly (PH-Kuala Selangor) berkata, semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan, isu berkait kakitangan kontrak Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk doktor, diambil serius.
“Pada tahap awal, kami berjaya mendapatkan satu kedudukan baik di mana pekerja kontrak dinaikkan daripada Gred UD41 kepada Gred UD43,” katanya.
“Jadi saya menegaskan tuntutan oleh doktor hartal ini perlu diberi perhatian, antaranya proses pelantikan mereka dibuat secara telus, adil berdasarkan merit, serta diberi layanan adil dan saksama.
“Saya mohon kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri, (agar) kebajikan mereka dilindungi. Jangan ada pihak berkuasa ambil tindakan ke atas mereka yang buat hartal.”
Semalam, sekumpulan doktor kontrak di beberapa hospital utama mengadakan “walk-out” sebagai sebahagian daripada Gerakan Hartal Doktor Kontrak.
Mogok yang antara lainnya dibuat bagi menuntut laluan kerjaya yang adil dan faedah yang sama seperti doktor berjawatan tetap dimulakan pada 11 pagi.
Gerakan berkenaan sebelum ini menyifatkan tawaran pelanjutan kontrak yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai “gula-gula” untuk menutup mulut.
Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan semua pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.
Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/27/jangan-layan-doktor-kontrak-seperti-ppe-pakai-buang-dzulkefly-beritahu-putrajaya/