Panas !!! Harga makanan dilapor meningkat 30 peratus

Harga makanan dan minuman yang ditempah secara online mengunakan aplikasi penghantaran yang le­bih tinggi dianggap membebankan pelanggan memandangkan kumpulan itu perlu membayar caj penghantaran.

Tinjauan mendapati harga makanan di kedai dan restoran meningkat sehingga 30 peratus bagi satu menu berban­ding bayaran yang dikeluarkan bagi pelanggan yang datang secara terus ke premis.

Harga makanan dan minuman di dalam aplikasi itu tidak termasuk caj penghantaran yang mencecah RM6 bergantung kepada jarak.

Seorang pekerja swasta, Siti Nuramalina Azmi, 26, menyifatkan harga makanan bagi peng­guna aplikasi penghantaran terlalu mahal.

“Sebagai pelanggan, kita perlu membayar caj penghantaran, tetapi harga makanan pun mahal berbanding membeli di kedai.

“Harga semangkuk mi di kedai mi­salnya RM12, tetapi sekiranya memesan guna aplikasi harga­nya melonjak RM16 tidak termasuk caj penghantaran dan cukai,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Nuramalina berkata, kenaikan harga itu menyebabkan per­belanjaan yang diperuntukkan untuk membeli makanan bertambah setiap bulan.

Bagi Ahmad Haziq Azman, 29, dia mengambil langkah membeli di kedai selepas menyedari harga bagi tempahan menggunakan aplikasi didapati ‘tidak masuk akal’.

“Sebelum ini, saya berbelanja RM200 seminggu membeli makanan guna aplikasi, kini saya dapat berjimat RM100 (seminggu) apabila membeli sendiri di kedai,” katanya.

Ahmad haziq menyeru kerajaan supaya campur tangan bagi meneliti ketelusan harga makanan yang ditempah dalam aplikasi yang didakwa tidak selaras.

Di Johor, orang ramai yang ditemui turut mengakui harga makanan yang ditempah menggunakan aplikasi meningkat RM3 hingga RM5 bagi satu menu.

Suri rumah, Siti Noor Asiah Muda, 32, berkata, perbezaan harga itu sedikit membebankan lebih-lebih lagi rakyat berdepan berdepan pelbagai cabaran di musim pandemik ketika ini.

“Harga nasi goreng biasanya RM7 hingga RM9, tetapi harga bagi tempahan menerusi aplikasi RM12 hingga RM15 sepinggan,” katanya ketika ditemui di Larkin.

Di Pulau Pinang, seorang pe­langgan, Khairul Amri Shamsudin, 30, mengakui selesa membeli sendiri makanan di kedai kerana boleh membuat pilihan selain harganya yang lebih rendah.

Katanya, pilihan makanan bagaimanapun terhad disebabkan pergerakan hanya melubatkan radius 10 kilometer disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kadang-kadang saya buat tempahan guna aplikasi sekiranya keadaan terdesak,” katanya.

Bagi peniaga, Mohd. Syafril Yusop, 30, pula, dia mengakui memang terdapat perbezaan harga bagi pelanggan yang datang ke premis dan memesan melalui aplikasi.

“Nasi goreng ayam misalnya dijual RM8, namun sekiranya pembeli memesan melalui aplikasi mereka perlu membayar RM11. Saya akui peningkatan ini menyebabkan bilangan pelanggan (online) merosot,” katanya.

Syafril berharap masalah ini dapat diselesaikan ke­rana memberi kesan bukan sahaja kepada peniaga, malah pelanggan.

Peniaga mendakwa terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan caj yang dikenakan pengendali aplikasi. – GAMBAR HIASAN
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Azizan Che Harun memberitahu, pihaknya terpaksa meletakkan harga berbeza bagi pesanan melalui aplikasi di­sebabkan caj 33 peratus bagi satu tempahan yang dikenakan oleh pe­ngendali aplikasi.

“Sekiranya meletakkan harga sama, bagaimana kami hendak dapat untung. Mereka (pengendali aplikasi) sudah kenakan caj kepada peniaga,” katanya.

Pengusaha restoran, Mohd. Hafizul Fadli Hatip, 39, pula memberitahu, dia mengambil inisiatif berbeza apabila menggunakan khidmat penghantar makanan sendiri.

“Keadaan ini memberi situasi­ menang-menang kepada pe­langgan, peniaga pun boleh ‘ber­nafas’ lebih-lebih lagi di musim pandemik ini,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan peniaga yang bergantung kepada penyedia perkhidmatan penghantaran makanan merayu agar pengendali aplikasi me­ngurangkan kadar komisen yang disifatkan terlalu tinggi ketika ini.

Peniaga makanan mendakwa, mereka perlu membayar komi­sen kepada pengendali aplikasi itu sehingga 30 peratus dari­pada harga setiap makanan yang ditempah para pelanggan.

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/06/21/pelanggan-terus-tanggung-beban/

CATEGORIES